Archive for the ‘surat pada tuhan’ Category

Surat Untuk Gaza 2

Posted: August 1, 2014 in surat pada tuhan

Kampung Padang Balang
Kuala Lumpur

 

19 November 2012

 

Kehadapan penduduk Palestin,

 

Segala puji bagi Allah yang meniupkan ketenangan ke dalam roh. Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Demi Kuda Perang yang tangkas berlari yang kedengaran kencang nafasnya. Serta mencetuskan api dari telapak kakinya. Dan meluru menyerbu musuh pada waktu Subuh. Sehingga menghamburkan debu pada waktu itu. Lalu menggempur ketika itu jua, di tengah-tengah kumpulan musuh. Tuhan yang memberikan cahaya di segenap alam, bukalah mata hati bahwa hidup tidak sendiri. Tuhan itu dekat, lebih dekat dari nadi yang berdenyut di antara kerongkong dan tulang dagu kita ini.

 

Selawat ke atas Muhammad, penghulu segala nabi. Al – Amin gelaran diberi, lembut perwatakannya dan membawa kebenaran Tuhan. Disebarkan ke seluruh alam, membawa kedamaian buat yang percaya adanya Tuhan. Memberi kemaafan, walau dikasari. Semoga kita semua berada dalam pelukan syafaat baginda Muhammad. Al-Mustafa Paragon.

 

Allahu ma’ana,

 

Kepada adik-adik kecil,

Kalian lekas sungguh dewasa. Kehilangan segala benda, percikan darah itu biasa, berpindah randah usah dikata. Telah kenal keperitan hidup, walaupun sepatutnya usia seperti kalian di tempat abang ini, bermain dengan girang. Pergi sekolah, melukis ahli keluarga, melukis ayah, emak, abang, adik, dan saudara-saudara yang lain, makan tengah hari, dan pulang disambut oleh mak. Tapi itu disini dik, di Kuala Lumpur. Abang pasti di sana, pergi sekolah sebelum subuh, untuk elak dari musuh, sampai sekolah, suara cikgu pelan-pelan saja, untuk elak dari musuh, sampai masa kelas lukisan, melukislah kau dik, lukisan kebebasan tanah airmu. Pulang rumah, dengar ibu, ada yang telah tiada. Sabarlah, “Innallaha Ma’a Sobirin”.

 

Kepada akak-akak yang berwajah manis,

Kalian tanpa gincu, bedak, wangian, dan semua alat solek. Tetap manis. Menyiapkan pakaian ayah, abang, suami, juga buat seisi rumah. Malu-malu bila bertemu dengan orang luar. Tapi bila ditanya soal tanah air, berapi-api sinar mata. Tanpa sedu sedan, berbangga cerita memberi bantuan kepada yang memerlukan. Bahkan ceritamu berlari membawa air mineral ke hospital itu saja sudah menyentuh hati saya. Dan kini sekali lagi bantuanmu diperlukan. Hospital Shifa’ menunggu pertukaran syif dari akak-akak manis yang menjadi jururawat di sana. Saban hari menjadi saksi pemergian teman juga saudara. Di depan mata semuanya pergi, sesayup kota zaytun. Sabarlah, “Innallaha Ma’a Sobirin”.

 

Kepada ibu-ibu yang lembut wajahnya,

Kalian adalah pembakar semangat paling hebat, tiap malam didendangkan lagu semangat untuk menidurkan pejuang kecil. Bercerita hidup ini adalah satu pengembaraan, tiada masa untuk berpangku tangan. Setelah semuanya tidur, ibu-ibu yang begitu sayang akan keluarganya akan berdoa semoga Tuhan memberikan perlindungan. Keesokan paginya, di saat satu.satu.satu pergi ke lapangan, dan tidak pulang-pulang. Ibu-ibu meneruskan rutin harian, tanpa rasa penyesalan melepaskan. Senyum sambil melihat awan. Seperti kisah Rasha Ar Rantisi. Dengan penuh kesabaran, mengucapkan “Innallaha Ma’a Sobirin”.

 

Kepada pemuda-pemuda yang berjiwa kental,

Kalianlah yang paling ke depan menyambut segala tantangan yang tak diundang. Senantiasa bersiap siaga, menjadi pelindung dengan sesungguhnya. Setiap kali keluar rumah, mengharapkan kemenangan ataupun kesyahidan. Seandainya tidak pulang, senyuman bagi ahli keluarga yang dalam kerinduan. Tanpa ragu-ragu berdiri di puncak cita, menjerit, “mara….mara….mara”. Walaupun telah berpuluh tahun berjuang, tetap bersabar. Kerana kalian percaya “Innallaha Ma’a Sobirin”.

 

Saya disini hanya menonton berita, dan mengikut rapat dari twitter. Segala gambar, rakaman, juga tulisan dari sana. Palestin. Saya ini tiada apa yang mampu diberi. Sekadar tulisan yang tak terbaca olehmu adik-adik kecil, akak-akak, ibu-ibu, maupun pemuda-pemuda. Namun tulisan ini saya akan dibaca berulang-ulang kali tanpa sedikit pun merasa bosan, supaya saya sendiri dapat merasa apa yang mereka rasa.

 

Kepada Tuhan,

Lindungilah saudara-saudaraku disana. Aku tiada apa, aku sedekahkan seluruh amalan hidupku yang diterima olehmu menjadi benteng buat penduduk disana.

 

Untukmu, wahai Qudus nan sejahtera

 

 

 

Yang hanya ada Tuhan dan kekasihnya
perewa

Kampung Padang Balang
12231KM dari Tebing Gaza

Segala puji dan syukur kepada Allah, Tuhan yang mentadbir alam ini. Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Tuhan Yang Maha Mengetahui segalanya. Dari Dia kita datang kepada Dia kita kembali. Semoga kita semua berada dalam rahmat dan kasih Tuhan.

Surat ini ditulis selepas merasakan sudah agak lama surat kepada Tuhan tidak dicatatkan. Pun begitu surat ini ditulis bukanlah niat kerana baru ingat pada Tuhan. Akan tetapi sekadar mahu bermonolog tentang situasi yang sedang berlangsung. Situasi yang sepanjang zaman tidak akan pernah tamat. Perang antara Palestin dan Israel. Yup, pertempuran di antara mereka.

Ya Rabbi,
Aku pernah bertanya pada isteriku, bagaimana kalau aku diberi peluang menjadi sukarelawan Palestin. Boleh tak? Isteriku hanya mendiamkan diri. Tapi aku yakin. Situasti itu benar2 perlukan pengorbanan yang tinggi. Baik dari sudut aku maupun isteriku. Kenapa perlu menjadi sukarelawan Palestin? Kerana aku merasakan aku tidak berbuat apa2 Tuhan. Berdoa. Dan dengan penuh keyakinan doa itu akan dimakbulkan. Itu sahaja. Kemudian kembali baca status2 Facebook, Twitter dan perkongsian dalam WhatsApp. Hati ini benar2 merasakan ada sesuatu yang belum puas. Entah. Kau Maha Mengetahui.

Ya Rabbi,
Aku yakin kau menyimpan sesuatu yang lebih baik buat Palestin. Kerana seluruh dunia mendoakan keselamatan mereka. Namun yang tampak hanyalah kekejaman demi kekejaman? Adakah doa tidak termakbul? Bukan calang2 orang berdoa buat Palestin. Imam segala jenis Imam, sedangkan jika satu2 tempat itu berlaku musibah dipanggil orang alim mengepalai solat hajat dan doa. Inikan pula doa buat Palestin. Aku yakin, ini bukan soal termakbul atau tidak. Ini adalah soal keimanan dan kepercayaan pada janji2 Allah. Pernah dulu satu ketika, aku dapat tahu yang Ahmad Deedat di akhir hayatnya amat memilukan. Beliau mengalami strok yang kronik. Hanya mampu memberi arahan melalui suara yang samar2 dan tulisan yang kabur. Aku bertanya pada Kau Tuhan. Adakah ini buat pejuangmu??? Dengan sendiri jawaban muncul, ujian kepada keimanan itu diberi mengikut tahap masing2. Dan itu ujian buat Ahmad Deedat. Aku yakin beliau menerima dengan penuh bahagia. Dan aku? Bagaimana pula ujian keimananku wahai Tuhan? Sekadar berkelahi sesama sendiri perihal boikot tak boikot, perihal orang itu sokong yahudi orang ini sokong yahudi? Atau terus menerus istiqomah dengan sendiri memanfaatkan masa buat Palestin?

Ya Rabbi,
Hari ini masuk 14 Ramadan. Bulan yang penuh keberkatan. Kau Maha Mengetahui segalanya. Terlalu ramai yang mahu berkongsi segala. Baik kena dengan cara, maupun tidak kena dengan cara. Kadang aku bertanya, apakah mereka ini tidak punya rasa? Bagaimana kalau diri mereka sendiri yang kena? Bagaimana? Ouh lupa juga, pada waktu ini piala dunia sudah masuk ke edisi perlawanan akhir. Antara Argentina dan Jerman. Kenapa aku menceritakan hal ini? Kerana perkara ini pun dijadikan isu. Boleh kah aku hanya mahu fokus peduli hal Gaza dan mengabaikan status2 yang dimuatnaik oleh mereka2 itu? Boleh ke Tuhan? Atau itu hanyalah pengabaian aku pada realiti?

Ya Rabbi,
Mungkin satu hari nanti, aku akan menjejakkan kaki di bumi Gaza. Waktu itu aku menginap dalam rumah yang sangat kecil. Cukup aku dan buku2. Kenapa buku2? Kerana pada waktu itu aku mengambil inisiatif memberi pinjaman buku2 kepada rakyat Gaza dengan percuma. Bangun pagi merenung mentari dibalik gunung. Buka pintu rumah, sudah terpacul lima anak2 kecil Palestin yang mahu melihat buku apa yang bakal aku keluarkan. Aku bentangkan tikar panjang. Mereka tolong sama. Aku suruh mereka asingkan. Buku English di bahagian kanan, Arab kiri, dan kanak2 campurkan di tengah2. Kami pun mula susun. Tidak sampai 10 minit selesai. Dan aku namakan rumah aku sebagai Buku Jalanan Palestin. Buka dari jam 8pagi hingga 6petang. Saban hari makin ramai orang berkunjung. Mereka bawa pulang buku yang mereka suka. Aku terharu, seluruh dunia menghubungi aku wahai Tuhan Yang Maha Pengasih. Mereka mahu sumbangkan buku2. Demi Palestin.

Ya Rabbi,
Mungkin surat kali ini tidak begitu jujur aku berbicara. Ada lagi yang tersimpan dalam ruang hati. Mungkin juga belum sampai masa. Dek kerana terlalu banyak kemungkinan ini aku akhiri surat padamu Tuhan dengan sajak yang pernah ditulis oleh Tongkat Warrant. Tajuknya Thaurah Palestin. Aku rasa sangat sayu bila melihat apa yang berlaku di Palestin. Bantulah kami. Bantulah kami.

THAURAH PALESTIN

Saudaraku Rakyat Palestin
Semangatmu lebih waja dari kereta kebal Israel
Genggaman tanganmu lebih kuat dari bom Zionis
Kau berikan cakrawala baru
Thaurah Palestin

Dengarkan di mana-mana suara menjawabnya
Perjuangan berani yang tak terkalahkan
Suara rakyat sejagat mengutuk penindasmu
Lihat jutaan mata terbuka sudah
Siapa tulang belakang menjulang kekejaman
Yang membunuh anak-anakmu

Saudaraku Rakyat Palestin
Tiba-tiba airmata jadi bara
Tiba-tiba anak-anak jadi dewasa
Tiba-tiba bilik kuliah jadi api
Senjata musuh sekadar dapat mematikan
Tetapi tidak berhasil membunuh semangat kepahlawanan
Penjara musuh sekadar memagari insan
Tetapi tidak dapat menahan gema menjerit keberanian
Yang dijawab oleh jutaan suara kebenaran
Semuanya dengan satu slogan
Mara Palestin
Thaurah Palestin

Yang Mengharap terbaik buat Palestin
Perewa

p/s: Jika anda zoom gambar di bawah ini. Ianya adalah jarak perjalanan mengunakan kaki. Dari Kampung Padang Balang menuju Tebing Gaza.

kl ke gaza

Segala puji dan syukur kepada Tuhan yang Maha pengasih dan Maha penyayang.

Tuhan yang telah bersumpah, Demi Kuda Perang yang tangkas berlari dengan kedengaran kencang nafasnya. Serta mencetuskan api dari telapak kakinya. Dan meluru menyerbu musuh pada waktu Subuh. Sehingga menghamburkan debu pada waktu itu. Lalu menggempur ketika itu di tengah-tengah kumpulan musuh. Juga bersumpah pada masa, pada waktu subuh dan waktu dhuha, pada buah tiin dan bukit tursina. Pada janji-janji yang tidak pernah Tuhan mungkiri di masa lalu, masa kini dan masa depan. Dan benarlah apa yang telah disampaikan oleh Muhammad al amin. Insan yang dirindu tanpa tahu bagaimana bentuk rupa parasnya. Hebat sungguh, merindu pada yang tidak pernah bertemu. Semoga kita semua bertemu dengan Muhammad dalam keadaan bahagia dan sentosa.

Semalam, semalam ada teman memberitahuku. Bahwa beliau senang pada surat yang aku tulis padaMu. aku terus tersentak. Sudah agak lama sebenarnya aku tidak tulis surat padaMu, pada Tuhan. Lupa, tumpu pada penulisan lain. kesian pada diri, sedangkan yang Utama adalah Tuhan. Dengan penuh kerendahan diri sebagai hamba yang dicipta memohon ampun atas segala khilaf. Maka surat ini aku tulis untuk bercerita pada Tuhan, sebenarnya mahu bercerita apa ya. Tuhan itu Maha mengetahui, belum terfikir untuk berkongsi itupun Tuhan sudah tahu. Bahkan belum lagi aku tersentak semalam Tuhan sudah pun tahu yang aku akan tulis malam ini. oleh itu mahu bercerita apa? berceritalah supaya yang membaca ini sama-sama mendapat faedah jua ilmu dari aku yang masih kurang segala benda. Aku yang tidak ada apa.

Tuhan, sebenarnya aku banyak menulis ditempat yang aksaranya 140 kata. Disitu semua pantas menulis. Disaat menulis persis berkata-kata, maka berhati-hati dalam penulisan itu perlu. Saat aku menulis ini, sudah 28,615 kata telah aku titipkan. Jika ianya memberi faedah alhamdulillah. Bagaimana kalau semua itu memberi musibah. Dulu, waktu aku kecil ada ustazah cerita bila akhirat esok tangan,kaki dan semua anggota lain akan turut berbicara. Dalam zaman penuh kemodenan dan kecanggihan ini. Tidak perlu tunggu akhirat, sekarang juga jari mampu berbicara. Hujung jari. Serta merta keluar. Dan dibaca oleh seluruh umat. Sudah akhiratkah sekarang? .Ada yang terkena, ada yang terasa, ada yang terkesan. Dan semuanya bermula dari tulisan dihujung jari. Jika ada yang terasa, aku sendiri pun tidak tahu Tuhan. Ialah, pembaca itu sendiri menghadamkan apa yang dibaca. Tanpa bertanya kepada penulis biasanya. Dan sekarang aku bermenung. Ditakuti tulisan aku memberi kemudaratan. Aku bertanya.”tulisan itu harus bagaimana?” Mungkin sebelum tulis perlu fikir hujungnya bagaimana. Hujung akibatnya.

Pesan mak, kalau nak tulis. Tulislah tulisan yang membangun masyarakat. Membangun masyarakat, membangun masyarakat itu apa? aku ada baca buku intelektual masyarakat membangun. Itu? Seperti itu? Semoga Kau tunjukkan aku jalan. Aku tidak belajar menulis dalam kelas penulisan, tapi Tuhan, aku belajar menulis dari kelas kehidupan. Semoga yang baik beroleh manfaat, yang jauh diminta jauh.

Segala puji dan syukur kepada Tuhan sekalian alam

Perewa

Masjidil Nabawi

Madinah Al Munawwarah

Alhamdulillah,Alhamdulillah,Alhamdulillah.

Segala puji dan syukur kepada Tuhan sekalian alam. Tuhan yang maha pengasih dan maha penyayang. Tuhan yang menciptakan segala kebaikan, untuk kita, untuk siapa saja peroleh kenikmatan. Tuhan yang maha besar. Yang segala itu berasal daripadaNya, bermula dengan tiada pemula dan akan terus ada. Dalam sifat 20 ada ceritanya. Semoga kita semua mendapat kefahaman yang membuahkan lebih keakraban dengan Tuhan.

Kebaikan. Semua orang mahu pada kebaikan. Sebenarnya kebaikan itu boleh hadir dalam pelbagai ragam dan warna. Terpulang kepada kita untuk menzahirkan ia bagaimana. Dari sekecil kebaikan, maupun menumpang kebaikan, ataupun sebesar besar yang kita sangka ia besar jugalah bagi kita pada kebaikan. Berpandukan pada ajaran Tuhan, kebaikan itu memberi manfaat setiap umat. Memberi rahmat juga berkat. Dari berkat menghampiri syafaat. Itulah yang didamba oleh pengikut Muhammad.

Kita ini walau sejahat mana, jangan perli akan kebaikan, jangan halang orang melakukan kebaikan, jangan mengata orang berbicara hal kebaikan. Yelah, manusia biasa. Kadang kita merasa diri kita ini mulia, merasa diri kita tidak dungu, merasa lebih berfikir dari orang lain yang juga berfikir, merasa lebih dari semua. Sudah punya ilmu lebih katanya. Merasa lebih kritis, dan menghasilkan kelompok yang akan mengata pada kelompok yang baru menemui akan kebaikan.

Tuhan, aku tidaklah mengatakan aku tidak pernah berada dalam situasi semua yang aku taip ini. Bahkan Kau maha mengetahui, dan aku dapat rasakan semua yang aku tulis itu hadir dalam diri aku sendiri. Refleksi kepada diri sendiri. Membenci dalam hati pada mereka yang hipokrit, mengata pada yang mencampur adukkan hak dan batil, meletakkan di sudut paling hujung bagi mereka yang jauh dari agama. Itukah aku? atau itulah aku? Kini aku cuba merungkai dan meleraikan tali sempadan aku dan mereka. Ia aku tahu bukan aku saja merasa begitu. Ialah, mereka buat baik tapi melanggar suruhan Tuhan. Bahkan kalau tidak dilarang, seperti aku menggalakkan.

Oleh yang demikian aku cuba untuk mengajak semua yang baca ini mulakan kebaikan yang dianjurkan oleh Tuhan. Aku siapa untuk mengajak? aku bukan siapa2, hanya hamba Tuhan yang sempat lompat keluar dari lubang paling dalam. Lakukanlah kebaikan, walau ditengah khalayak yang semua orang tidak kenal akan apa itu kebaikan.

Maafkan aku Tuhan. Aku dapat rasakan aku tidak tegas dalam menjalankan kebaikan. Namun aku merasa, saat aku mengajak temanku ke arah kebaikan. Aku dapat menghidu masih ada lagi di hati temanku untuk menuju ke arah kebaikan.

Dan tiadalah kebaikan paling nyata saat menyembah diriMu dalam solat. Solat itulah Kebaikan yang membawa keakraban pada Tuhan.

yang menung(gu) masa sesuai

perewa

Surat Pada Tuhan (Malu)

Posted: August 10, 2012 in surat pada tuhan

Depan LaptopKuala Lumpur

Segala puji bagi Tuhan sekali alam. Maha pengasih dan maha penyayang.Ya Allah sesungguhnya waktu dhuha itu waktu dhuhaMu, kecantikannya kecantikanMu , keindahannya  keindahanMu, kekuatannya kekuatanMu ,kekuasaannya kekuasaanMu dan perlindungannya perlindunganMu. Berkat waktu dhuha, kecantikanMu, keagunganMu, keindahanMu, kekuatanMu dan kekuasaanMu, Semoga waktu dan masa itu juga memberi peluang untuk aku menunjukkan rasa cinta kepadaMu.

Surat ini ditulis pada hari sebelum aku berangkat ke bumi dimana islam mula ditegakkan. Waktu aku memberitahu pada teman2ku yang aku akan menunaikan umrah, ada yang mengucapkan tahniah, ada yang merasa sebak, ada yang merasa sedih, dan  ada juga yang mahu kirimkan doa. Kirimkan doa itu yang akan aku coretkan di sini. Bermula dari diberikan kesihatan yang berpanjangan, kepada diberikan jodoh yang baik2, dan juga segala kebaikan yang didambakan oleh manusia. Memang benarlah, kebaikan itulah fitrah manusia. Lantas yang jahat itu? Siapa? Mereka juga asal fitrahnya dari baik juga kan Tuhan. Secara jujur ini kali pertama orang kirimkan doa padaku, sebelum ini aku juga pernah ke sana. Tapi itu waktu awal 20an(sekarang pertengahan 20an…ecehh), iyelah lagipun aku tidaklah mengkhabarkan secara meluas pemergianku ke sana. Tapi kenapa kali ini? Kerana temanku mengajar, beritahu pada semua orang supaya mereka juga bisa mendoakan yang terbaik buatku. Maka dengan itu segala kiriman2 doa akan kukendong dan bawa bersama semangat yang utuh mengadap cinta yang satu. Aku adalah orang yang sukar untuk meminta segala macam-macam kepada Tuhan. Namun selepas dicerahkan oleh teman, bahawasanya Tuhan itu telah tahu apa isi hati kita walaupun hati itu masih belum Dia ciptakan dalam diri kita ini. Subhanallah. Maka tidak apa yang perlu disorokkan. Tuhan bukan seperti manusia, makin diminta makin meluat. Bahkan Tuhan, makin kita minta makin bertambah erat hubungan kita dengannya. Oleh yang demikian…..

Ya Allah,

Wahai Tuhanku,

Yang menyimpan masa lalu

Yang menggerakkan masa kini

Yang mengetahui masa depan

Yang mencipta udara, ada  tapi tiada

Yang membolak-balikkan hati

Yang mempunyai kekayaan melimpah ruah

Yang mencipta kecantikan

Yang mencipta ketampanan

Yang menggerakkan jari ini menaip

Yang membenarkan mata ini membaca

Yang memberikan akal ini berfikir

Yang memberi segala rasa

Yang memiliki segala cinta

Yang berfirman Kun Fayakun

Yang menghadiahkan ketenangan

Yang mengenal tenteraNya

Yang berdiri dengan sendiriNya

Yang memberi aku pekerjaan

Yang memasukkan aku dalam universiti

Yang mengeluarkan aku air mata

Yang mencomelkan aku saat masam mencuka

Yang menghalang aku dari boros berbelanja

Yang senantiaaaaaaaaaasa berada di hatiku

Yang menurunkan hujan

Yang memancarkan cahya dan pelangi

Yang mampu mengambil nyawaku sekelip mata

Yang mampu menghidupkanku sekelip mata

Aku……

Aku malu

Untuk meminta

Kau Maha Mengetahui isi hati

Ameen.

Yang merintih sebelum solat Jumaat di akhir Ramadhan

perewa

Lorong-lorong cinta yang kosong,

Pertemuan dengan cinta yang agung,

Di kampung abadi bernama hati,

Tuhan yang Maha Mengetahui.

Segala puji bagi Allah, Rabbul lamin, Ar Rahman Maha Pengasih, Ar Rahim Maha Penyayang. Tuhan yang menurunkan segala bentuk keindahan. Tuhan yang memberikan manusia rasa kenikmatan api sedangkan asal muassal dari neraka yang azabnya tidak terperi. Semoga kami semua dijauhkan dari segala hal yang membawa keburukan.

Surat ini aku tulis seperti biasa Tuhan, mengadu kepada Kau Yang Maha Mengetahui. Aku punya teman, dia ada membaca surat yang telah aku tujukan pada Kau Tuhanku. Temanku berkata, apakah surat pada Tuhan itu ditulis dengan penuh kesedihan? Entah Tuhan, aku bukan melupakan Kau saat aku berada dalam keadaan bahgia. Cuma aku lebih terkesan menulis bait-bait kata yang merintih pada pencipta, supaya kelak ia menjadi peringatan pada diriku dan juga pada teman yang membacanya. Aku ada baca buku Almarhum Hamka, guru yang aku tidak pernah jumpa tapi aku sayang. Semoga beliau berada di kalangan orang-orang yang kau beri nikmat di sana. Pada bukunya yang bertajuk di dalam lembah kehidupan, dihadiahkan padaku oleh teman yang akrab. Akrab? Entah, definasi akrab itu pun punyai pelbagai versi. Di dalam buku itu ada menyebut, di saat kita bergembira masih ada yang berduka, di saat kita sudah tidak lelah untuk mengeluh, masih ada yang mengeluh, dan di saat kita mampu tersenyum, masih ada yang mampu tersenyum tapi jiwanya murung. Surat aku pada kali ini, ingin bertanya pada Kau Tuhanku, soal cinta. Sekiranya cinta sesama insan itu bukanlah lagi menjadi satu kekuatan, bahkan membuatkan diri menjadi ketakutan dan penuh kegelisahan. Apa guna cinta itu lagi? Ouh lupa, surat ini ditulis juga kerana aku punya teman yang begitu dalam luka di hatinya. Aku tidak tahu bagaimana mahu menutupi luka itu. Kerana ditakuti aku menambahkan lagi lukanya itu.

Tuhan, kau yang Maha Lembut pada setiap makhluk. Berikanlah pengertian supaya kelak kami temui jalan yang akan membawa kami ke dalam lembah kedamaian. Aku merenung jauh, saat aku mendesak fikiranku memikirkan perihal masa depan. Aku kerap mencongak berapa banyak lagi harus dikumpul, berapa lama lagi harus bersabar, berapa,berapa,berapa? Di saat aku menulis surat padaMu Tuhan. Aku membelakangi jendela, yang mana diluarnya hanyalah gelap malam. Cahaya yang gelap, hmmmm…..itupun jika cahaya itu berguna. Ampunkan aku Tuhan sekiranya tulisan aku kali ini tidak tahu ke mana hala. Aku semakin letih dan mengantuk, maka aku menggelapkan dunia dengan menutup mata.

Segala yang baik itu datangnya dari Kau, yang buruk itu datang dari aku hamba yang tidak pandai menjaga. Dan kedua2nya, bahkan semuanya datang dari Kau belaka. Untuk mengajar aku, Manusia.

Yang menutup mata

perewa

Telefon pintar,
Rawang

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Maha pengasih dan Maha penyayang. Maha mendidik, dan menciptakan insan. Kadang insan itu lupa asal muassal, namun Kau tetap dengan Ar-RahmanMu. Beribu kali dimungkiri pun tetap juga dengan Ar-RahimMu. Syukur ke hadrat Tuhan yang menciptakan ilmu nan luas terbentang. Disambung penyebaran oleh pesuruh lantikanMu. Dan kini penyebaran ilmu itu dilakukan oleh sosok yang bergelar guru.

Sebelum itu ampunkan aku Tuhan, kerana aku pusing juga kepala mahu meletakkan surat untuk guru aku ini pada kelompok mana dalam blog aku. Aku tidak mahu meletakkan dalam kelompok yang tiada kategori-uncategorize. Sedangkan guru aku ini senantiasa membangunkan masyarakat setiap masa. Bukanlah hanya berada dalam ruang sendiri sahaja. Oleh yang demikian aku sandarkan saja dan menjadikan surat padaMu Tuhan.

Ya Tuhan, ampunkanlah dosa guru2ku. Berikanlah pahala buat ilmu2 manfaat yang telah diajar padaku. Yang tidak bermanfaat biarkan saja, jangan pula Kau memberikan dosa pada mereka. Kerana mereka juga manusia yang bergelar guru biasa, tidak sama dengan guru agung yakni pesuruh2Mu.

Selama aku hidup ini Tuhan, aku sudah ketemu pelbagai guru. Yang membantu, juga tidak membantu, yang menghina juga tidak menghina, yang mengubah perjalanan hidupku juga yang meneguhkan pendirianku. Semua yang telah terjadi padaku kini sedikit sebanyak adalah dari ilmu yang dituntut. Disini aku senaraikan seberapa ramai nama guru2 aku yang keterpaksaan maupun tidak keterpaksaan mengajar aku.

Bermula zaman universiti:-
Prof Normah Dali(yang menaipkan surat untuk aku, membetulkan segala ayat dalam surat aku, seorang wanita yang tabah dan begitu sayang akan anak muridnya), Dr Anizah(yang senantiasa menjaga masa), Encik Munir(yang punyai kedai baju, juga seorang designer), dan ada satu pensyarah ini aku lupa namanya Tuhan, tapi dari beliaulah aku boleh memandang dunia dari sudut yang berlainan. Beliau mengajar ilmu personal development. Seterusnya Cik Zarith(orang yang manis, berjiwa muda seperti aku). Kemudian Ustaz Rasid(yang telah menyuruh aku khatamkan tenggelamnya kapal van der wijck), Puan Noorchahaya(yang aku telah pinjamkan buku tenggelamnya kapal van derwijck, dan kini buku itu aku hadiahkan buatnya) Ustaz Johari(yang mengajar bahasa arab dan dalam masa yang sama mudah berbicara hal politik), juga Puan Razmah(yang mengajar aku supaya cuba mendapatkan kesempurnaan, paling tidak cuba ke arah hampir sempurna jika tidak mampu). Dan ada beberapa nama yang aku tidak sebut, namun semuanya mereka, semuanya mereka adalah insan yang hebat.

Zaman persekolahan:-
Cikgu Mat. Al-Fatihah buat beliau, yang kali terakhir aku dengar beliau sudah kembali bertemu denganMu Tuhan. Aku sebak. Kerana dari beliau aku mula jatuh cinta dengan sastera melayu. Beliau banyak membetulkan tatabahasa aku. Walaupun aku ini dyslexia dan tidak akan dapat beza ‘di’ itu sepatutnya rapat dan jauh pada apa. Beliau tidak pernah merungut, bahkan berkongsi cerita saat malam meniaga untuk menampung keluarga. Kali terakhir aku bertemu dengan Cikgu Mat adalah pada akhir tahun 2004, beliau berniaga di bazaar ramadhan. Bersama isteri dan anak2nya. Aku sedih apabila mengingatkan kembali momen2 itu. Dan Cikgu Mat jugalah menyuruh aku baca dan menghuraikan sajak Tuan Baha Zain-di kota kecilku. Aku tidaklah rapat mana dengan kelompok sasterawan, tapi aku sudah khabarkan pada Tuan Baha Zain, saat aku membaca sajak di kota kecilku. Fikiran aku terus ingat pada arwah cikgu Mat. Tuan Baha Zain menjawab, kenangan itu tidak akan pernah terhapus. Juga ada beberapa Ustaz yakni Ustaz Dolah, yang menyuruh aku berniaga, kerana kalau kerja untuk mendapat rezki yang benar2 lari syubhah itu susah. Iyelah, mampukah kita dari jam 8-5 berterusan kerja tanpa bertelefon atau melayari internet atau berborak kosong atau berjalan2 buang masa.(Dengan demikian hormat aku pada Ustaz Dolah dan sempena hari guru ini, aku tuliskan surat padaMu Tuhan pada waktu rehat tengah hari). Seterusnya Ustaz Wan Roslan yang mengajar aku hal jodoh saat teman aku bertanya, “ustaz kalau orang gemuk dan gelap siapa yang nak?”. Ustaz Wan Roslan menjawab dengan memberi gambaran tak semua orang ke kedai kain membeli kain putih, ada juga membeli kain hitam,hijau,panjang pendek,bercorak dan sebagainya. Aku tersenyum mendengarnya. Juga dua orang ustazah, yakni ustazah cik siti nor asiah yang mana guru kelas aku yang tabah menjaga kelas kami. Kelas belakang la katakan. Bercerita hal2 sirah para sahabat, hingga satu masa bercerita pasal syiah. 🙂 berlainan pula dengan ustazah yang aku sudah lupa nama, mengajar aku tawarikh islam perihal muawiyah, kontra dengan apa yang telah diajar oleh ustaza cik siti nor asiah. Tapi dengan ustazah ini(sangat garang). Aku dengan keras kepala selalu tidur dalam kelas dan saat ditegur suruh basuh muka, aku ke keluar dan sambung tidur ke kelas lain. Dan apa yang berlaku Kau maha mengetahui Tuhan. Ustazah itu ajar di kelas itu rupanya selepas kelas aku! Aku disuruh berdiri depan kelas. Tapi kami baik saja lepas habis SPM. Syukur. Semoga segala mereka senantiasa dibawah lindungan Rahmatmu Tuhan.

Ok loceng sudah bunyi, tanda masuk kerja. Mungkin sampai disini saja surat aku padaMu Tuhan. Kau ampunilah dosa guru2ku. Dan berilah pahala buat mereka sebanyak mana air liur mereka digunakan untuk menyampaikan ilmu.

Ameen.

P/S:aku punya teman yang agak nakal, tapi mengajar aku saat orang sebut Al-fatihah angkatlah kedua tangan. Kerana Al-Fatihah itu juga Doa(bermula dengan pujian, berakhir dengan pengharapan). Dan sekarang aku sampaikan kepada Teman pembaca.

Yang begitu menghormati sang guru
Perewa