Archive for the ‘Sepetang di Kota Luhur’ Category

Kisah peniaga donut 10 sen melawan menteri kewangan.

Ketika pihak perbadanan mengedarkan pekeliling untuk merobohkan sengkuap kedai2 di Kampung Baru, Wan telah pun mengedarkan flyers pertemuan peniaga2 kuih yang terlibat. Katanya ini pertemuan penting demi masa depan periuk nasi mereka.

Wan sudah lebih 15 tahun berniaga di Jalan Daud. Perniagaan yang diambil alih daripada ayahnya. Perniagaan keluarga. Keluarga mereka pembuat donut. Donut biasa dijual 10sen. Donut berwarna, atau bersalut coklat satu berharga 40 sen. Tiga seringgit. Masih lagi mengekalkan harga sebegitu meskipun peniaga kuih lain sudah menaikkan harga lima kuih dua ringgit.

Pertemuan yang dijanjikan pada jam 9 malam di restoran tom yam an nur mendapat sambutan. Restoran ditutup demi memberikan laluan pertemuan peniaga. Wan bangun dan bersuara.

‘Kerja perbadanan ni apa sebenarnya? Menjaga pembangunan kampung baru atau ada kuasa lebih? Ni masuk ni dah lebih tiga kali dapat amaran. Dia suruh buat rayuan kita merayu. Ni surat terakhir katanya Rabu depan mereka nak robohkan kedai yang ada sengkuap. Haram jadah betul. Habislah kedai masuk air kalau hujan.’

Suara mula riuh, kata caruan barua,babi,anjing semua keluar.

Imam Ahad ke depan dan meminta izin untuk bersuara. Hadirin mula diam.

‘Saya bersimpati dengan nasib kamu, saya juga ada telefon pegawai DBKL. Katanya mereka tiada kuasa, mereka hanya jalankan tugas. Saya cakap, tak fikir ke kesusahan peniaga nanti? Pegawai tu mohon maaf kerana sejujurnya dia sendiri sudah memaklumkan kepada CEO perbadanan. Tapi CEO itu menolak rayuan dan mahu teruskan arahan merobohkan sengkuap.’

Imam Ahad berbisik dan meminta sesuatu kepada wan.

‘Kamu lihat benda ini? Semua orang kenal, donut. Si wan ni aku kenal dia dari kecil lagi. Sampai la sekarang dia sambung niaga ayah dia punya. Bulat bentuk donut ini, sebulat itulah tenaga yang perlu kita satukan. Jumaat kita semua akan ke bangunan DBKL Jalan Raja Laut. Kita akan berdemo dengan membawa kuih masing2 diedarkan secara percuma hanya kepada pegawai DBKL saja. Tapi ingat sebelum bawa ke DBKL jumpa saya dulu dengan kuih2 kamu.’

Mereka semua memandang antara satu sama lain. Wan senyum sinis, membawa makna tunggulah nasib kau!

Rabu.

Tidak ada kelibat pegawai DBKL yang hadir. Kesemua mereka ditahan oleh pegawai SPRM, satu bangunan. Di setiap kuih yang mereka bawa diletakkan mikrofon bersaiz nano. Yang tinggal hanya orang perbadanan. Mereka ramai2 berdiri di depan kedai Suraya Nasi Kukus. Wan melakukan aksi terakhir. Donut yang dari tadi ditutup kain mula dibuka. Diberikan pula kepada orang perbadanan. Mereka yang hadir dalam 5 orang mengambil tanpa bertanya.

Keesokan harinya kesemua mereka berubah menjadi anjing, babi dan haram jadah.

Advertisements

Kampung Baru

Kuala Lumpur

Assalamualaikum Puan Pengetua,

Tujuan saya menulis surat ini adalah disebabkan menerima surat salah alamat. Tiga surat awal berbentuk amaran telah dikeluarkan, saya sudah buka dan baca dan buang. Tidak berikan semula kepada pihak pos kerana tiada alamat di sampul untuk dikembalikan. Saya buka sampul surat ini baru tahu ianya datang dari sekolah puteri tengah kota.

Alamat yang salah dan mungkin juga tiada alamat pemilik surat membuatkan saya yakin surat ini tidak dapat sampai. Saya merasa gusar dengan situasi ini selepas membaca isi surat. Dan surat terkini, F sudah disingkirkan dari sekolah. Akan tetapi, jika dilihat dari tarikh surat dicetak dan dipos, amat lewat. Sebulan!

Pelbagai perkara bermain difikiran saya selepas saya membaca surat ini. Adakah anak ini mempunyai masalah kerana selama sebulan beliau tidak hadir sekolah. Adakah tiada lagi rombongan cikgu ikhlas dan prihatin menziarahi anak ini? F Binti Sudirman. Saya kenal seseorang bernama Sudirman. Pak cik Sudirman pengurus bahagian kelengkapan jenazah. Saya terasa ingin menghubungi beliau, adakah ini anak beliau? Tapi umur pak cik Sudirman sudab tua. Aduh.

Mungkin surat saya ini dilihat sebagai sebuah hiburan, tapi percayalah saya takut untuk menghubungi semula pihak sekolah dan memaklumkan salah alamat. Adakah saya ini cuba lari dari tanggungjawab? Tanggungjawab yang datang umpana angin lalu. Seperti kita melihat penunggang motor menolak motor di bahu jalan, kerana rosak atau habis minyak. Dan kita bawa laju, apabila ternampak sudah terlajak jauh kemudian terus ke depan. Dalam diri penuh kesalan yang akan hilang perlahan-lahan.

Saya mampu doakan semoga adik ini baik2 saja. Ameen.

Wassalam.

Yang benar

Perewa

Kampung Baru

Kuala Lumpur

Assalamualaikum,

Hidup bagaikan sungai mengalir. Mengalir dan terus mengalir hingga sampai masa kering jua. Surat ini ditujukan buat anda berdua yang menjadi insan terakhir bercinta di bumi ini. Sebelum berlakunya kiamat, apa perasaan anda? Bumi sedang sengsara tapi anda masih mampu merasa bahagia.

Saya terfikir waktu bawa motor menuju bangunan tabung haji di jalan tun razak, sambil bertemankan lagu cat steven yang tajuknya saya tidak tahu kerana bukan lagu yang biasa saya dengar. Adam dan hawa kisah cinta pertama, dan anda adalah kisah terakhir. Saya tidak pasti bagaimana kalian mampu bertahan.

Mungkin atas bencana alam yang pernah berlaku seperti gempa bumi, banjir, tsunami maka saya bayangkan. Anda tidak hidup dalam resah gelisah, hanya kekuatan cinta sebagai bekalan meneruskan hari terakhir di dunia. Mungkin anda tidak tahu bahasa Melayu. Mungkin surat ini tidak sampai pada anda. Mungkin masa depan tiada internet. Ada yang lebih advance, al kisahnya lima enam ratus atau alaf baru. Seperti zaman ini, mana kita dapat baca tulisan zaman kesultanan melayu Melaka. Begitulah.

Saya doakan cinta anda kekal sampai bila2, meskipun bumi terbelah dua. Percintaan dalam perjuangan.

Wassalam.

Yang benar,

Perewa

(Masih difikirkan apa yang mahu ditulis)

Connor kini menetap bersama neneknya di Jalan Raja Alang selepas ibunya meninggal dunia. Dan bilik ibunya kini adalah milik Connor. Setiap malam yang sebelum ini dilawati oleh Pokok Besar Yang Boleh Bercakap, hanya tinggal kenangan. Connor telah diberitahu oleh neneknya ada sebuah sekolah yang mungkin sesuai untuk beliau. HOGWART nama sekolah itu. Connor yang sering dibuli di sekolah lama mengambil keputusan dengan bersetuju dengan cadangan neneknya.

20 tahun sudah berlalu, itu hanyalah kisah lama seorang budak yang ingin berdepan dengan realiti kehidupan. Kehilangan seorang ibu, dan selang dua tahun kemasukan Connor ke Hogwart neneknya pula meninggal dunia. 

Guruh berdentum. Tiga kali berturut-turut.

Connor kebasahan di tengah Chow Kit. Beliau disapa oleh seorang wanita yang…..boleh menjadi cecair? Wanita ini ingin menikam Connor, wanita ini dari masa depan. 

Lari Connor Lari. Dengan penuh kepayahan Connor masuk ke dalam Masjid Kg Baru, nafas turun naik. Kelihatan seorang lelaki sasa berjubah sado menuju ke arah Connor. Sambil berkata

‘im back’

Kau siapa?
Aku tak tahu. Aku mungkin seekor burung. Perbuatan aku sama seperti burung.
Tapi burung boleh terbang. Kau tidak.
Ada burung tidak boleh terbang. Penguin.
Tapi penguin 🐧 di tempat sejuk. Kau di Malaysia.
Okey. Aku mungkin sebuah meja tulis.
Tidak. Mustahil. Sebab meja tiada hidung untuk bernafas. Malah meja tidak bergerak dengan sendiri. Kau boleh.
Aduh. Fikiran aku serabut dada aku sesak. Aku apa? Okey. Mungkin aku mahu lari dari dunia manusia menjadi sesuatu yang lain.
Mungkin. Tapi kau adalah manusia. Manusia berjuang untuk hidup.
– Di sebuah bilik kecil paling hujung di sebuah rumah terbiar.

Kampung Baru

Kuala Lumpur

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

 

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian Alam. Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Maha pembela bagi yang tertindas. Maha pemberi balasan pada hari pembalasan. Semoga kita semua senantiasa berada dalam rahmatNya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad.

 

Surat ini ditulis beberapa hari selepas penangkapan orang asli di Kelantan. Saya tidak mengikuti secara dekat apa yang berlaku sebenarnya. Namun ingin saya melontarkan pandangan saya yang tidak seberapa ini.

 

  1. Setuju atau tidak pembalakan tidak boleh dilakukan di mana-mana tempat?
  2. Setuju atau tidak hak tanah adat diberikan kepada orang asli?

 

Dua soalan ini biasa dilontarkan kepada sesiapa, dan yang membalasnya pasti dilabel sebagai penyokong pembalakan. Saya berpendapat begini.

 

  1. Adalah mustahil dan aneh jika pembalakan tidak boleh dilakukan. Kerana ia adalah sumber asli. Sama seperti minyak. Adakah tempat minyak disedut itu akan merosakkan terumbu karang dan sebagainya? Semestinya kawasan itu ditebuk. Namun hanya kawasan itu sahaja. Begitu juga dengan pembalakan. Kawasan itu sahaja yang dipotong kayunya. Kerana pokok sebesar dan berjuta tahun mana pun ia hidup akan tumbang jua pada akhirnya. Maka hasil itu disia-siakan. Ini pendapat saya.

 

Maka apa masalahnya?

 

  1. Masalahnya adalah apabila pembalakan itu dibuat berlebihan. Berlebihan yang mengundang kepada kerosakan ekosistem tanah dan aliran sungai tercemar. Perlu dihalusi semula apakah kesilapan yang telah dilakukan hingga mengakibatkan orang asli bangkit menyatakan ketidakpuasan hati.

 

  1. Tanah adat sudah pun diberi kepada orang asli, mereka mempunyai hak ke atas tanah mereka. Namun yang dibalak itu bukan atas tanah mereka. Tiada pengusiran rumah berlaku. Itu adalah hak milik negeri, hutan simpanan. Iyelah jikalau fikir logik akal, siapa pemilik tanah dalam dunia ini? Siapa yang sampai dulu, dialah yang akan dapat. Kemudian tertubuhnya kerajaan besar. Menyatakan segala hak alam adalah miliknya. Sama seperti konsep komunis dan sosialis. Kembali kepada kerajaan, dan diagihkan sama rata mengikut aras yang dirasakan sesuai oleh kerajaan. Orang asli tidak boleh mudah-mudah menyatakan seluruh hutan simpanan itu adalah haknya. Mustahil benda itu. Dan saya yakin mereka faham dengan hal ini.

 

  1. Perkara jadi melarat apabila halangan dibuat untuk membawa keluar kayu balak, pihak jabatan kata sudah ikut SOP. Datang peguam orang asli kata tidak. Siapa yang menentukan SOP? Semestinya kelebihan kepada kerajaan. Macam mana pun akan menang kepada kerajaan. Maka bagaimana mahu selesaikan permasalahan ini. Sikap integriti dari pihak kerajaan perlu ada.

 

  1. Dalang? Yang dikatakan menghasut orang asli ini perlu ditangkap. Saya ada baca, banyak sangat orang tulis, dibalas, tulis, dibalas. Adakah mereka ini bersemuka dengan pihak kerajaan. Saya berpendapat sudut pandang kerajaan arah lain. Sudut pandang mereka ke arah lain. Tapi untuk menolak secara total pembalakan adalah sangat mustahil.

 

Apa kena mengena novel IMAM oleh Sasterawan Negara Abdullah Hussain dengan peristiwa ini? Ada satu peristiwa di mana di bawah masjid/surau orang kampung terjumpa emas. Ramai penduduk kampung pergi mendulang emas di kawasan itu. Sehingga habis dan dikatakan di bawah masjid/surau ini masih ada emas. Dan ternyata benar. Solat istikharah dibuat apakah perlu diteruskan (yakni masjid/surau ini dirobohkan demi emas). Seolah petunjuk diperoleh, yakni diabaikan. Watak utama dalam novel ini menolak. Kerana ini adalah rezeki daripada Allah. Jika tidak diambil, pada masa akan datang timbul kekacauan juga. Mesti diselesaikan dengan mengambil emas tersebut. Ajk dan beberapa orang masjid/surau melawan idea watak utama ini. Sehinggalah berlaku tragedi yang tidak diingini.

 

Perkara yang ingin disampaikan adalah sumber alam yang diberikan Tuhan mustahil untuk kita tolak. Maka dengan SOP dan integriti serta amanah yang digenggam, perlu kita selesaikan sumber alam dengan sebaiknya.

 

Penahanan orang asli adalah rentetan dari keengganan mereka untuk membuka halangan dan bersurai. Selepas peristiwa ini, saya yakin keadaan akan jadi seperti biasa kerana ketua kampung mereka juga menyebelahi pihak Kerajaan Kelantan. Iyelah kata orang ketua kampung lantikan kerajaan. Sememangnya berfitrah begitu. Jika begitu, sampai bila kita tidak akan berpuas hati. Semua orang asli yang membuat halangan ditahan, mana pergi dalang? Mereka yang dilabel dalang inilah perlu bersemuka dengan kerajaan, katanya dari aktivis sahabat ALAM.

 

Saya doakan yang baik2 saja mereka yang ditahan itu. Doa saya kepada mereka yang berada dalam kesusahan.

 

Wassalam

 

Yang memberi pandangan kecil

Perewa