Archive for the ‘10 Surat Kepada 10 Malaikat’ Category

Kampung Padang Balang 
Kuala Lumpur 

Assalamualaikum,

Tahun ini punya rencana meskipun dunia semakin bergelora.

-Buku seperti biasa mesti baca lebih dari 52 buah. Kenapa 52 buah? Setahun ada 52 minggu, boleh lah dikira secara mudah sebuah buku satu minggu.
2013 – 58 buku
2014 – 55 buku
2015 – 60 buku

-Acara larian dan basikal pula
Ultramarathon Gombak-68KM (larian)
Selangor Century Ride – 160KM (basikal)
Standard Chartered KL Marathon – 42 KM (larian)
Port Dickson Duathlon – 10km – 60km – 8km (lari-basikal-lari)
Great Eastern Run – 12KM (Ini kena pecut!)

– Acara seni
Buku Jalanan TITI seperti biasa
TFTN – setiap isnin/rabu
Tonton satu teater

Yang entah jadi entahkan tidak
UK-PARIS-FRANKFURT
atau 
SWEDEN
atau
PARIS sahaja

Semoga dipermudahkan oleh Tuhan

Yang merencana 
Perewa

Surat buat malik

Posted: November 21, 2013 in 10 Surat Kepada 10 Malaikat

Atas tanah rindu
Bawah bulan syahdu
Kota Luhur
Dosa dan Pahala bercampur

Assalamualaikum,

Kehadapan Malik,
Ini adalah surat terakhir buat 10 Malaikat. Sengaja aku meletakkan kau di posisi akhir supaya penamatnya melankolik dan syahdu. Segala puji dan syukur pada Ilahi. Atas kurniaan Nya lah kita semua mampu berdiri.

Jika diikutkan hati dan diri. Aku memang tidak mahu untuk menamatkan surat ini. Sebab? Aku rasa tiada apa yang mampu aku tulis pada kau. Bahkan kau tidak membacanya. Hanya makhluk Tuhan bernama manusia dan juga mereka2 yang dibenarkan Tuhan untuk membacanya sahajalah yang membaca. Ini semua hanyalah delusi aku. Surat kepada Malaikat. 10 malaikat. Apa yang pembaca dapat. Yup. Aku tahu. Pada akhirnya semua ini. Aku lah yang tulis seorang diri.

Malik,
Kadang manusia suka membantu. Kadang manusia suka mengadu. Kadang manusia suka melihat hal2 makrifat. Kadang manusia suka melihat hal2 maksiat. Kadang manusia suka sekali bangun pagi tanpa jiwa. Kadang manusia lebih suka punyai jiwa. Kadang mereka suka bau rindu. Kadang mereka menyesal bau tanpa tahu. Kadang mereka membunuh. Kadang mereka terbunuh. Kadang mereka paling mulia. Kadang mereka paling hina. Kadang mereka baca buku tanpa faham maksud baca. Kadang mereka faham maksud baca tapi abaikan saja. Kadang mereka memeluk sesama mereka. Kadang mereka memeluk diri sendiri cuma. Kadang mereka buka pintu dengan kunci. Kadang mereka pecah pintu bila tiada kunci. Kadang manusia ini amarah. Kadang manusia ini ramah. Kadang jari menulis menzahirkan hakikat. Kadang jari tulis lari dari syariat. Kadang manusia lupa. Kadang manusia buat2 lupa. Kadang2 malik. Kadang2.

Apa benar Jibril dan Rasulullah itu menangis saat meratap hal2 neraka?

Malik,
Aku malu jadi lelaki.
Aku tengok ada orang memarahi isteri di depan khalayak. Aku tengok video seorang lelaki pukul isteri dalam lif. Aku ingat wanita itu kena rompak malik. Kena rompak. Tapi tidak. Separuh video saja aku tengok. Aku tak sanggup. Aku baca berita di dada akhbar. Seorang bapa buat hal yang tidak sepatutnya. Seorang abang. Seorang atuk. Aku rasa rebah baca berita itu malik. Aku malu. Aku rasa. Salah aku yang tahu. Aku berdoa panjang2 supaya aku tidak begitu. Sedang Rasulullah dan Jibril pun menangis kerana takut derhaka selepas melihat neraka. Ini kan aku yang tiada jaminan2 apa malik. Kau tahu apa malik? Kau tahu apa? Ilmu.

Bagaimana kalau kau di uji oleh Tuhan?

Seperti mana yang berlaku pada harut dan marut. Seperti mana yang berlaku pada adam dan hawa. Seperti mana yang berlaku pada habil dan qabil. Seperti mana yang berlaku pada musa. Seperti mana yang berlalu pada zulaikha. Seperti itu. Kau akan bagaimana?

Malik,
Meskipun ini hanyalah tulisan yang dibaca oleh umat manusia. Dan beberapa makhluk Tuhan lainnya. Setiap manusia secara fitrah gentar akan neraka. Biarpun mulut mereka mengatakan tidak. Biar betapa angkuhnya mereka. Mereka tetap rasa gerun dan resah bila diceritakan kisah neraka. Tuhan maha mengetahui.

Apabila berpisah dua jiwa, yang satu di syurga yang satu di neraka. Pasti sebak rasanya. Kisah yang palingkan sebak adalah abu thalib dan Nabi Muhammad. Waktu itu bagaimana kau malik? Tuhan maha mengasihi dan maha mengasihi.

Aku tamatkan surat ini dengan persoalan yang membawa kebenaran.

Tiga orang hamba Tuhan.

Satu masih bayi sudah meninggal.
Satu muslim dan menjadi dewasa kemudian meninggal.
Satu bukan muslim dan menjadi dewasa kemudian meninggal.

Ke manakah kedudukan bayi itu di akhirat kelak?

Yang menamatkan 10 surat kepada Malaikat
Perewa

Surat buat Ridhwan

Posted: November 5, 2013 in 10 Surat Kepada 10 Malaikat

Kg Baru
Kuala Lumpur

Assalamualaikum ridhwan,

Segala puji2an dan kesyukuran buat Tuhan yang maha mengasihani. Tuhan yang menciptakan segala keindahan. Lukisan alam paling indah tiada tandingan. Juga maha memberi nikmat. Nikmat yang tiada siapa mampu balas. Yang hanya mampu dilakukan adalah ucapan

Alhamdulillah
Alhamdulillah
Alhamdulillah

Apa khabar syurga yang berada di bawah jagaanmu ridhwan? Pasti indah2. Segala berita perihal syurga yang telah dibawa oleh rasul akhir zaman, aku tatang dengan penuh bahagia. syurga itu ceritanya manis2 bukan? Yang segala luar dan dalamnya terlalu indah ingin digambarkan.

Aku sering mengambarkan kau ini ridhwan umpama penunggu sebuah hotel paling terbaik di dunia! Ok2, di syurga itu nanti semua yang diminta akan aku peroleh kan?

Kek?
Aiskrim?
Kereta?
Rumah?
Gula!
Sekolah sendiri?
Yayasan sendiri?
Book cafe ftw!!!!

Hmmm banyak mahu aku senaraikan ini ridhwan, ouh dulu…..dulu aku pernah mengirimkan surat pada Tuhan. Isinya lebih kurang begini.

“Bayangkan ye, saat kita semua manusia masih hidup. Berasa bahgia bersama ibu bapa. Bergurau dengan adik beradik. Makan masakan mak, berbual dengan ayah soal politik negara. Suruh adik download filem dari torrent. Keluar bersama teman2, berbual perihal semalam yang dipanggil nostalgia. Semua ini hilang saat masuk ke dalam syurga? Apakah begitu?”

Ridhwan, bagaimana pendapatmu? Apakah bahagia kelak selepas lupa akan kebahagian di dunia dahulu? Kan. Mungkin kau dicipta untuk tidak memberi pendapat. Tapi aku mengharap surat ini me-layang2 sehingga ke depan pintu syurga. Dan terjatuh di hadapan kau.

Jika syurga ini tiada apakah masih ada yang mahu lakukan kebaikan? Apakah kebaikan itu dilakukan demi syurga? Sekiranya syurga itu dicipta untuk orang yang ikhlas, aku rasa teramat malu buat mereka yang ikhlas masuk ke dalam syurga Tuhan.

Atau mungkin aku yang banyak bertanya. Melukis syurga sendiri itu lebih baik aku rasa. Jika syurga itu difahami sebagai kebahagiaan. Utopia. Mungkin bagi sesetengah orang ianya lihat sengsara. Tapi bagi yang mampu melukis syurga sendiri, ia telah bahagia. Lihat saja qaisy yang gila, orang melihat betapa sengsara hidupnya. Tapi bagi beliau sendiri. Beliau telah capai satu hal yang tinggi. Fana. Merasa segalanya adalah lazat dan nikmat. Itu sendiri adalah syurga. Kan ridhwan?

Tapi aku yakin. Kenikmatan syurga itu tidak mampu digambarkan dengan apa2. Hanya percaya pada hari akhirat sahaja sudah memadai mempercayai kewujudan syurga dan neraka. Ada seorang ustaz ini telah beritahu pada aku bahwa neraka itu tidak kekal. Kalau tidak silap beliau ambil dari ibn arabi ke ibn taimiyah. Aku lupa wahai ridhwan. Apa benar begitu? Hujahnya adalah

Allah itu kan maha adil, maka tidak mungkin yang maha adil itu akan menyeksa hambanya selamanya. Yakni hambanya yang bukan islam. Kerana? Yang bukan islam itu, contohnya jika hidup selama 50 tahun sebagai bukan islam dan mati. Maka pasti akan diseksa selama 50 tahun. Kemudian selepas itu? Masuk syurga?

Maka hujah aku pula, yang muslim pula hidup selama 50 tahun sebagai muslim dan mati. Maka? 50 tahun sahajalah layak dalam syurga. Selepas itu? Masuk neraka? Aneh logik ustaz ini. Tidak apa lah. Pendapat diraikan.

Mungkin setakat ini dahulu surat aku. Akan kita jumpa kelak. Di syurga semestinya! InsyaAllah.

Wassalam

Yang menulis
Perewa

Surat Buat Atid

Posted: November 2, 2013 in 10 Surat Kepada 10 Malaikat

Kampung Padang Balang
Kuala Lumpur

Segala puji bagi Tuhan. Syukur kerana masih mampu mengendong nyawa yang dipinjamkan. Semoga kita semua akan berada dalam lingkungan rahmat-nya.

Assalamualaikum buat atid,

Surat ini sebenarnya tidak ditulis selepas aku tahu hal sebenar. Bahkan memanggil kau atid itu sendiri membuat aku malu sendiri. Jahil. Yup jahil. Tujuan surat ini ditulis, selain memang aku wajibkan diri aku tulis pada malaikat, antara lain adalah ingin memberitahu pada yang membaca. Yang mana aku tulis surat pada Malaikat ini bukanlah sekadar tulis tanpa membaca siapa malaikat itu. Semuanya aku baca dan isinya sama seperti yang aku pernah belajar dahulu. Kecuali, kecuali yang ini

Apakah raqib dan atid ini dua malaikat. Ataupun malaikat yang punya dua sifat ini (mencatat kebaikan dan kejahatan)?

Bagaimana malaikat ini mampu mencatat amalan manusia sejak zaman nabi adam sehingga akhir zaman?

Soalan2 kedua pernah aku bertanya pada raqib. Kelakarnya aku bertemu jawaban saat menulis pada kau atid. Untuk panggil kau atid ini pun aku merasa sedang melakukan satu kejahilan.

Kerana atid adalah sifat yang dimiliki oleh malaikat pencatat. Aku terbaca dalam tulisan. Perbincangan ulama tafsir maksud raqib dan atid itu. Dalam surah al qaaf ayat 18. Soalan kedua? Itu lebih menarik. Persoalan masa sebenarnya.

Malaikat yang fizikal-nya adalah cahaya. Maka atas perkiraan manusia. Ada yang jawab malaikat ini 24 jam dia, 5-7 abad kehidupan manusia.

Aku cuba kira sendiri. Tidak sangka dalam atid aku jumpa matematik.

Saiz bumi=12756km(24 jam)

Kelajuan cahaya=300, 000 km sesaat

300, 000km x 60 saat= 18, 000, 000km = satu minit

18, 000, 000km x 60 minit = 1080 , 000, 000 satu jam

1080, 000, 000km × 24 jam= 25, 920, 000, 000 sehari

Saiz bumi x 2juta kali pusingan = 25 512, 000, 000 kira2 hampir la kan

Kalau ikut dimensi malaikat. 2 juta kali mereka telah pusing dengan kelajuan cahaya

Satu tahun 365 pusingan (365 hari putar orbit keliling matahari )

Satu pusingan satu hari.

2, 000, 000 / 365 = 5479 tahun =

Satu abad 100 tahun
Maka 10 abad 1000 tahun

Pendek kata sehari malaikat bersamaan 50 abad manusia.

Subhanallah.

Aku memerlukan teman2 untuk periksa jika apa yang aku kira ini salah. Dan tolong betulkan di ruangan komen.

Kepada malaikat pencatat, terima kasih dan alhamdulillah pada Tuhan. Kerana surat ini aku beroleh sedikit ilmu.

Akhir kata, psss…..malaikat, aku jua ada beri soalan di atas pada cikgu matematik.

Wassalam

Yang mengira masa
Perewa

Surat buat Raqib

Posted: November 1, 2013 in 10 Surat Kepada 10 Malaikat

Kampung Baru
Kuala Lumpur

Aku berlindung dari kejahatan yang ujud dengan nama Tuhan yang maha melindungi. Pencinta kebaikan sesama makhluk. Kasih pada Tuhan. Kasih pada makhluk.

Assalamualaikum qib,

Boleh aku panggil kau qib saja? Hmmm. Sudah tulis dan panggil baru tanya. Tidak sopan bukan. Bagaimana catatan kebaikan aku hari ini? Apakah masih belum cukup. Aku yakin ‘cukup’ itu Tuhan yang tentukan. Apa benar kau menyimpan buku catatan amalan semua makhluk. Bagaimana kalau kau tersilap letak qib? Hilang segala catatan kebaikan. Ataupun tertukar dengan makhluk lain. Dengan arnab barangkali. Iye, arnab yang sengaja tidur dan memberikan kemenangan pada kura2. Ramai orang tidak tahu hal sebenar qib. Eh kejap. Arnab ada buku catatan amalan ke?

Kebaikan. Bagaimana ye kalau pada akhirnya yang aku lakukan selama ini bukanlah kebaikan. Dan aku tidak pun tahu akan hal itu? selama ini yang segalanya aku merasa berbahgia melihat seseorang itu gembira atau kebaikan yang aku lakukan, sebenarnya telah menyakiti mereka. Bagaimana itu qib? apa aku harus mengambil kembali kebaikan yang telah aku lakukan? atau mengharap ianya adalah se-benar2 kebaikan?

Tuhan menyuruh kita melakukan kebaikan, dan yang paling mudah adalah mengikut perintahnya. Dan itu yang kau sedang lakukan qib. Syabas qib, syabas. Aku? aku juga sama. Selagi upaya kuturuti segala perintahnya. Jika tidak terdaya? aku turuti jua.

Sekadar bual2 kosong ye qib, aku dulu waktu kecil sering berfikir. Kau ini bagaimana kedudukannya. Apakah bertenggek atas bahu kanan. Atau kau punya satu cctv yang mengikut umat manusia, apa saja yang mereka lakukan kau pantau. Dan timbul pula imaji yang sering keluar di TV. Pari2 kecil punyai sayap, menasihatkan kepada kebaikan, serta makhluk bertanduk berwarna merah. Aku kira itu syaitan, mengajak ke arah kejahatan. Aneh, aneh, aneh. Dan diletakkan syaitan belah kiri. Mana pergi sang atid? menuju umur kedewasaan, barulah faham. Itu hanyalah khayalan manusia yang membayangkan rupa makhluk2 yang tiada wajah nyata.

Nasihatkan aku untuk terus menerus melakukan kebaikan ye qib. Aku percaya manusia ini fitrahnya adalah baik. Kita semua baik. Yang mencorakkan kita kemudiannya adalah kita jua. Maka atas fitrah yang awal itu, bersangka baiklah aku pada semua orang. Biarlah fizikal mereka yang mungkin dipandang serong pada insan lain. Kenapa aku ucap begini qib? kerana aku punya teman yang tidak mahu percaya bahwa manusia itu baik. Ada yang jahat dalam diri manusia. Iye, itu aku tak nafikan qib. Tapi kebaikan2 yang membenih dalam sanubari mereka itu yang akan memadamkan tompok2 kejahatan qib. Atau kau lihat bagaimana?

hmmm….

Segala nya kembali Tuhan, yang menentukan baik buruk insan itu adalah Tuhan. Dengan penuh kejujuran aku rela mata aku ini dibutakan. Bukan kerana mahu menolak nikmat Tuhan. Akan tetapi aku lelah qib, lelah lihat keadaan sekeliling. Cuba lah sedaya upaya wuhai diri. kata aku saban waktu. qib, aku rasa sampai sini dulu surat aku ini. Mungkin surat ini pengakhirannya agak melankolik. Iye, sebab dunia semakin edan qib. Semakin edan. Pinjamkan sayapmu untuk mereka yang lemah berpaut. Itupun jika dibenarkan oleh Tuhan.

Aku tahu kau sedang baca surat ini qib, sambil tersenyum mungkin. Maaf aku harus pergi. Sampai di sini saja qib.

wassalam

yang benar

perewa

Rumah Pena
Jalan Dewan Bahasa
Kuala Lumpur

Segala pujian bagi Tuhan yang mencipta tanah. Yang mampu menghidupkan dan mematikan dan menghidupkan dan mematikan. Segalanya telah ditentukan.

Assalamualaikum,

Kehadapan Munkar dan Nakir,

Surat ini ditulis di beberapa tempat. Dan terhenti di tempat lain. Saya yakin. Hmmmm. Baru jemur baju tadi. Sedangkan tulisan dalam ini sudah di draft kan.

Untuk surat munkar nakir ini saya sebenar nya tidak lah mahu bertanya perkhabaran. Sekadar mahu meluahkan dan kongsi rasa pada awak berdua, wuhai makhluk bercahaya.

Hmmmm…..sekadar menghela nafas yang panjang. Hidup ini sebenarnya sudah tahu untuk apa. Kan? Hidup adalah untuk mati. Dan selepas mati itu apa? Apa yang bakal kita jumpa. Tuhan. Kan. Untuk bertemu Tuhan apakah perlu bersahaja atau bagaimana. Perlu bersolek molek, atau sekadar berselipar, pakaian lusuh yang sengaja tidak diperbaharui. Entah. Jawaban ada pada aku atau kau berdua munkar nakir?

Iye, memang tugas kau menyoal makhluk2 Tuhan yang berada di alam barzakh. Menyoal itu, dan hal yang dipersoalkan itu aku rasa antara satu bimbingan buat semua. Dan ini telah dikhabarkan oleh kekasih yang membawa risalah terakhir.

Saya berada dalam ruang yang irama muzik penuh terapung di udara.

Manusia. Keangkuhan, saya merasa aneh pada yang merasa lebih dari yang lain. Mungkin, mungkin saya rasa mereka ini sikapnya begitu. Iyelah, ciptaan Tuhan itukan pelbagai. Kita menerima apa adanya itu lebih baik. Dan kita terapung bersama lenggok dunia.

Senyuman paling anggun adalah jelmaan dari jiwa yang isinya secerah mentari pagi.

Apakah kelak nanti ada belas ihsan dari kau munkar nakir? Ataupun boleh beri sogokan. 1ringgit? Sepuluh ringgit? Satu ribu cukup? Ouhhh lupa. Duit2 ini semua tidak berguna di alam barzakh. Tapi ikut kepercayaan cina, mereka bakar kertas seolah2 itu wang. Dikirimkan buat roh saudara mereka di sana. Terpulang, kepercayaan mereka kepercayaan mereka.

Berada dalam ruang gelap ditemani dua gelak tawa yang berbeza.

Kita lupa kita siapa, manusia. Manusia yang? Yang? Yang bagaimana? Yang masih tiap malam bau rambut manusia lainnya? Wangi yang tidak sepatutnya. Apa maksud? Entah. Munkar nakir lebih tahu. Pun begitu tadi baru saja selesai terbang ke ruang lain dalam angan kelmarin.

Ok lah. Tulisan agak berterabur..kerana ditulis pada waktu dan tempat lain. Disambung menjadi satu surat buat munkar nakir, yang sedang sibuk melaksanakan tugas dari Tuhan.

Surat sarat hal2 yang tidak hebat.

Yang tekan2 dalam gelap
Perewa

Surat Buat Izrail

Posted: October 25, 2013 in 10 Surat Kepada 10 Malaikat

Kampung Baru
Kuala Lumpur

Segala puji bagi Tuhan yang telah menetapkan hayat setiap makhluk. Dari Tuhan kami datang, kepada Tuhan kami kembali. Selawat ke atas nabi yang juga merasakan betapa peritnya saat ruh dan badan terpisah……….

Assalamualaikum Izrail,

Sihat kau? Aku di sini sihat2. Eh…err…..tanya soalan begitu pada Malaikat Mauttt. Baaanyak sekali aku mahu tulis pada kau wahai Izrail. Aku baru baca buku koleksi komuniti dari Indonesia. @fiksimini

“Saat malaikat maut menemui pemabuk, pemabuk itu menjemput malaikat maut minum. Mereka minum dan mabuk bersama. Pelan2 pemabuk itu membunuh malaikat maut”

Haha. Tergelak aku baca kisah ini Izrail. Umar sang penakluk ada menyebut, manusia yang paling bijak di dunia adalah yang ingat pada MATI. Bayangkan, bayangkan kita semua rasa malaikat maut sedang memerhatikan kita. Ketika tengah menulis ini. Ketika teman2 sedang baca. Ada terpacak malaikat maut di sebelah.

Ok Izrail, kau adalah empat malaikat besar yang terakhir aku utuskan surat. Kau juga satu2nya Malaikat yang akan bertemu dengan aku. Dan entahlah. Aku sering berkata dan bertanya pada diri. Bagaimana kalau aku mampu berkonspirasi dengan takdir. Bagaimana?

Ok mungkin ini soalan yang tidak patut aku tanya. Tapi aku jua mahu tanya, kelak bila kita bertemu. Kau boleh kongsikan bagaimana kau mengambil nyawa mereka2 yang…..seperti….Karl Marx, Gandhi, Badiuzzaman Said Nursi dan lain. Pasti ada cerita menarik bukan?

Aku sedang menonton pembentangan belanjawan 2014 dalam negara aku. Izrail apa pendapat kau tentang negaraku? Sedang nazak atau masih segar bugar? 🙂

Senyuman itu buat kau wahai Izrail. Terima kasih sudi membenarkan aku menulis surat ini pada kau.

Yang gentar
Perewa