Surat kepada buku Usman 3 (Di Atas Bara Kita Berdiri)

Posted: May 30, 2016 in surat untuk buku

Jalan Raja Alang, Kampung Baru

Kuala Lumpur.

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

 

Segala puji bagi Tuhan sekalian alam. Ar Rahman dan Ar Rahim. Dari Dia diri ini muncul, kepada Dia ini hilang. Penuh kekuasaan yang sangat menenangkan. Tuhan yang mencipta segalanya. Selawat dan salam buat penghulu segala nabi. Muhammad yang dikasihi. Semoga kita semua yang sedang membaca ini berada dalam rahmat Tuhan dan syafaat nabi.

 

Langit petang Khamis pada tarikh 29 November 2001 begitu melankolik. Lebih melankolik surat ini ditulis beberapa hari ketika umat islam ingin menyambut Ramadhan. Dan saudara Usman, telah bertemu penciptanya pada 13 Ramadhan.

 

(arkib berita pemergian Usman Awang)

 

Surat, surat ketiga dan yang terakhir pada buku terbitan ITBM. Untuk menulis surat terakhir agak ralat kerana merasa tidak sepatutnya saya menamatkan kisah seorang Usman dari buku-buku terbitan ITBM. Namun pengakhiran adalah satu kelengkapan pada satu kitaran. Apatah lagi ia kitaran kehidupan, dan tidak bermakna berakhirnya surat ini maka berakhirlah surat saya kepada saudara Usman. Tidak benar sama sekali. Kerana masih dua lagi buku saudara yang saya belum miliki. KAKI LANGIT dan SALAM BENUA.

 

Saudara Usman yang dikasihi,

 

Ketika saudara pergi ke alam lain. Negara kita telah tiga kali melewati PRU. 2004, 2008 dan 2013. 2008 adalah paling manis sekali saudara, pembangkang telah berjaya merampas Pulau Pinang, Kedah,Perak dan Selangor. Iye Selangor. Sehingga surat ini ditulis, Selangor masih lagi dalam tangan pembangkang. Tangan parti yang digagaskan oleh rakan saudara Anwar Ibrahim. Di dalam surat ini saya ingin ulas sedikit sebanyak tentang sajak saudara.

 

Pada halaman lima, JENTAYU.

 

Dan inilah kehebatan Usman. Dari kisah epik dia boleh jadikan puisi panjang. Kemudian diringkaskan. Kemudian ada sambungan. Sajak Jentayu ini yang diambil dari kisah epik Ramayana, diubah menjadi 11 babak dalam puisi. Dan diringkas kepada sajak yang sedang anda baca kini. Nasihat saya anda kena cari sajak Jentayu 11 babak itu.

 

Di sayap taufan

Kau jelajahi

Awan gemawan

Membawa rindu

Kasihmu menentangi

Kezaliman

Ketidakadilan

 

Dan tahukah anda, Usman telah menyiapkan sajak khas yang bertajuk JENTAYU YANG LUKA kepada isteri Anwar Ibrahim.

 

Tiba-tiba dia bangkit
Dengan kelembutan yang tetap sopan
Berdiri di barisan paling hadapan
Sebagai pahlawan keadilan

 

Di dalam buku ketiga ini, susunan sajak lebih kepada tugas penulis. Tanggungjawab yang perlu ada pada mereka. Maaf sepatutnya saya tulis ini dulu. Tapi kerana tidak sabarnya diri ingin menceritakan tentang sajak Jentayu. Maka….maafkan saya Usman. Boleh lihat di halaman pertama dalam sajak ZAMAN INI. Usman menyebut penyair dan wartawan pada zaman ini mengajar untuk jadi pura-pura. Dari sini kita boleh lihat sikap Usman yang menegur teman setamannya, agar bertindak waras dan penuh intergiti dalam melakukan tugas.

 

Engkau penyair akan menulis segala cerita,

Penamu tajam boleh mengiris segala derita!

Zaman ini mengajarmu hidup berpura-pura,

Atau sekadar menyelamatkan diri menganggukkan kepala.

 

Engkau wartawan kutip berita antara manusia,

Penamu tajak dapat mencungkil bakat keburukan mereka!

Engkau diam mengikat tangan di bawah meja,

Zaman ini memaksamu menulis yang baik belaka.

 

Ouh tidak lupa juga dalam buku ini dimuatkan sajak MELAYU, untuk pengetahuan pembaca semua. Usman ada menciptakan sajak MELAYU JOHOR sebelum sajak MELAYU ini. Itulah saya tekankan betapa tahun itu penting untuk kita tahu dari mana ilham atau peristiwa yang muncul ketika sajak Usman ditulis. Sajak MELAYU JOHOR ditulis oleh Usman ketika pergelutan antara pemimpin parti di kawasan Johor. Usman membacakan sajak MELAYU JOHOR dalam salah satu perhimpunan parti itu. Dan mungkin Usman merasakan dia perlu melihat konteks yang lebih luas. Yakni Melayu seluruh negara. Maka terhasillah sajak ini. (ada beberapa perbezaan sikit antara sajak Melayu Johor dan Melayu).

 

Siakap senohong,

Gelama ikan duri;

Bercakap bohong,

Bolehkah jadi Menteri?

 

Usman yang bacaannya terpengaruh dengan penulisan lama gurindam, pantun dan sebagainya masih mengekalkan diksi, estetik itu dalam setiap karyanya. Pantun di atas ditulis oleh beliau dalam PANTUN MODEN halaman tujuh. Pelbagai kelucuan dan kontra yang dimainkan oleh Usman membuatkan kita berfikir.

 

Untuk sajak ‘EJAAN’ BARU, saya rasa ITBM perlu menulis sedikit nota kaki. Ini untuk menyatakan apa sebenarnya yang berlaku. Ada LELAKI, ada PEREMPUAN. Ini adalah satu persembahan yang mengangkat dua kota dalam JAMBATAN EJAAN, EJAAN BARU. Bagaimana Usman, apa pendapat saudara? (hadir dalam mimpi ye untuk jawab soalan saya ini).

 

Aha!! PAK UTIH 1 dan kemudiannya ditulis PAK UTIH 2. Usman membuatkan sajaknya mempunyai siri. Kerana sajak PAK UTIH 2 ditulis dua puluh tahun selepas PAK UTIH 1. Dan temanya masih sama, kemiskinan, kemiskina, dan kemiskinan. Senang sekali saya berkongsi

 

PAK UTIH 2

 

III

 

Suatu malam Pak Utih bermimpi

Menerima wahyu

Dari radio di kedai tempat berhutang

Suara itu berkata lantang!

Tulis olehmu!

Pak Utih gelengkan kepala, tak tahu

Suara itu memerintahkan lagi:

Tulis olehmu

Tulislah!

Tiba-tiba Pak Utih pandai menulis

Ditulisknya huruf-huruf sebesar batang kelapa:

I-N-F-L-A-S-I

Maka dilihatnya huruf-huruf itu menari-nari

 

Begitulah tulisannya. Usman menggunakan kisah wahyu yang turun kepada Nabi, dan Iqra’ sebagai sumber inspirasi pada larik ini. Saya ada jumpa sajak Pak Utih 3 yang ditulis oleh penyajak lain, mengambil semangat Usman mungkin. Dan jika PAK UTIH 2 Usman membicarakan perihal Inflasi, maka sajak Pak Utih 3 pula penyajak lain menyentuh soal GST. Begitulah jika sajak yang hebat, ia tidak akan pernah tamat dan  masih releven sepanjang zaman.

 

Rujuk halaman 37, sajak yang bertajuk TULANG-TULANG BERSERAKAN. Sajak ini terhasil daripada novel semi-biografi beliau sendiri. Tajuk yang sama. Usman sendiri menyebut di dalam syarahan beliau dalam buku Sikap Dan Pemikiran Usman Awang keluaran DBP. Beliau banyak mengembangkan idea dari satu karya kepada karya lain. Dan bagi saya sesuatu yang hebat apabila sebuah novel mampu diringkaskan menjadi sajak. Tahniah saudara Usman!

 

Kepada Angkatan 50 juga dua sajak Usman dimuatkan dalam buku ini. Saya mencadangkan agar rakan mengenal lebih lanjut tentang apa itu Angkatan 50. Halaman 34 dan 35, bahkan buku ini yang memilih di atas bara kita berdiri diambil dari larik sajak Kekuatan Jiwa (Kepada Angkatan 50).

 

Saudara Usman, saudara sangat bijak dengan menulis sajak KEHILANGAN NAMA pada halaman 44. Kadang kita tiada suara untuk menyatakan hak, tapi saudara. Saudara mampu bersuara.

 

IV

 

Seorang yang namanya tak bernama

Tinggallah di pondok buruk itu

Jika pondok itu pusaka halal dari moyangmu;

Tanamlah padi disawah kecil terpencil

Jika sawah itu warisan sah dari ayahmu;

Berdirilah di tanga banguna dengan songkok dan samping

 

Jika kau beroleh jawatan budak suruhan;

Menorehlah di ladang-ladang besar

Berkerjalah di lombong-lombong saudagar

Jika kau mendapat kartu seorang buruh;

Hantarlah anak-anakmu di sekolah berdekatan

Yang kita medahkan dengan nama ‘kebangsaan’

 

Begitulah tulisan seorang Usman. Anda perlu baca seluruh sajak ini dari awal untuk faham kenapa pada kalimat kebangsaan itu ada tanda kurungan. Anda rasa?

 

Ouhh, Usman pernah sampai ke Rusia. Dari sajak MOSKOW, saya dapat terbang ke sana hanya dengan membaca. Sajak ini saya jumpa dalam buku terjemahan sajak-sajak Pushkin terbitan DBP. Saya masih ingat lagi, boleh rujuk pada halaman 53

 

III

 

Pagi ini di perkarangan Pushkin

Serombongan anak sekolah

Comel berdedai didandani kabus

Mengucapkan bait-bait puisi pujangganya/

Bila mereka menghilang, tampaklah

Sebusut bunga di kaki Pushkinnya.

 

(kemudian ku tau suatu tradisi

Sebelum ujian puisi, mereka

Datangi tugu pujangganya

Memohon restu kasihnya).

 

SURAT DARI MASYARAKAT BURUNG KEPADA DATUK BANDAR, halaman 56. Sajak ini saya pernah kirimkan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur ketika kenaikan harga cukai pintu. Selama lebih 14 hari saya poskan sajak ini kepada Datuk Bandar. (tapi akhirnya cukai tetap naik jua). Begitulah Usman, nasib penduduk yang hidup di kota ini. Katanya cukai untuk menaikkan taraf jalan dan perkhidmatan pengangkutan awam. Tapi jalanraya masih lagi berlopak dan sesak.

 

Jangan lupa perhatikan sajak bertajuk PENGHINAAN di halaman 42.

 

Siapa datang memberi kuasa pada cinta,

“he, penyair, sajakmu perlu apa,

Tutup lembaran yang membosankan,

Duniamu asing untuk kita semua.’

 

Usman menegur mereka-mereka yang di atas, menghina golongan penyair seolah tidak membantu membangunkan negara. Lihat betapa kelas sastera dan kelas sains dibezakan. Lihat sains kemanusiaan dan sains fizik di IPT. Bagaimana mahasiswanya berfikir, apakah kita saling memerlukan bukan? Jangan sekali kita membezakan dan melihat kelompok penyair ini lekeh. Ini kerana Usman juga menyebut sekali lagi dalam sajak BERKAYUH RINDU DI SELAT TEBRAU, halaman 49.

 

Tajam keris raja

Tajam lagi pena pujangga.

 

Sebelum saya menamatkan surat ini, ingin saya kongsikan satu cerita yang tidak pernah saya cerita kepada sesiapa (saya rasalah). Waktu itu saya berada di tingkatan dua, masih naif, kecil, comel. Pagi hari (saya sekolah sesi petang) di ruang rehat asrama saya mengambil akhbar utusan dengan tajuk ‘Tongkat sudah kembali kepada pencipta’ (lebih kurang begitu tajuknya).

 

Saya belum kenal saudara, belum kenal sajak-sajak saudara. Tapi berita itu membuatkan saya mula mencari siapakah pemilik nama Tongkat ini. Saya yang tidak dibimbingi siapa-siapa dalam penulisan sastera, mula belajar perlahan-lahan menulis puisi. Dan akhirnya saya berjaya keluarkan buku sendiri yang saya hanya terbit 100 saja. Buku itu bertajuk Surat2 Perewa. Saya jual kepada rakan-rakan saya sebelum saya berkahwin. Saya fikir orang berpuisi itu berjiwang, tapi saya silap kerana mereka itu sedang berjuang! Berjuang dari segenap segi. Banyak kelas-kelas penulisan yang tumbuh sekitar kota, Cuma saya saja. Saya saja yang merasa tidak puas dan berfikiran ego untuk tidak duduk di dalam kelas agar belajar secara formal. Mungkin, mungkinlah saya ini sudah biasa dengan ilmu dari jalanan. Maka merasakan ilmu yang di dalam kelas itu juga ada di jalanan. Cuma di dalam kelas itu lebih sistematik. Saya pernah hadir kelas percuma yang dilakukan oleh rakan saudara yakni A Samad Said. Di Dataran Merdeka, di Masjid Rawang. Dan saya kini yang memegang Sarjana Pengajian Penterjemahan juga akan berkongsi ilmu secara percuma kepada sesiapa yang ingin belajar ilmu pengajian penterjemahan.

 

Sebelum saya akhiri surat ini, ingin saya kongsi pada saudara Usman. Pada 2014 rakan saudara Abdullah Hussain telah kembali ke penciptanya. Saya tulis ini kerana saya terbaca sajak lama saudara ketika majlis perkahwinan Abdullah Hussain. Agak lama kan? Rakan baik saudara, A Samad Said pada Jun 2015 telah masuk ke sebuah parti politik. Dan saya tertanya-tanya jika saudara masih hidup apakah pendirian saudara. Saya godek-godek semula tulisan dan syarahan saudara dalam buku SIKAP DAN PEMIKIRAN dan USMAN AWANG DALAM ESEI DAN KRITIKAN. Saya menemui saudara akan memihak kepada masyarakat walau apa pun terjadi, meskipun kita tidak tahu apa yang bakal berlaku pada masa hadapan. Saya mendoakan saudara baik-baik saja di alam sana. Jika ada rezeki, kita berjumpa sambil berbicara hal sastera, filem, puisi sambil kaki bermain air di Telaga Kauthar.

 

Wassalam

 

Usman Awang (12 Julai 1929 – 29 November 2001)

 

 

 

Yang cuba menjadi seorang penulis (yang sudah beralih ke arah surreal)

Perewa

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s