Surat kepada buku Usman 2 (Bunga Darah Merah)

Posted: May 19, 2016 in Uncategorized

Kampong Baru

Kuala Lumpur.

 

Assalamualaikum saudara Usman,

 

Rhoma Irama dalam lagunya yang bertajuk Darah Muda menyebut ‘ masa muda masa yang berapi-api’. Ketika surat ini ditulis umur saya sudah mencapai 30 tahun. Mungkin ini adalah refleksi kepada surat yang saya pernah tulis dahulu. Surat kepada diri (surat pada diri untuk masa depan). Dan ketika api yang membara semakin malap serta hampir padam, saya membaca buku bertajuk Bunga Darah Merah yang diterbitkan oleh ITBM ini. Seolah-olah tubuh muda yang semakin hari semakin dimamah masa, perlahan-perlahan bara yang hampir padam itu mula ditiup oleh aksara, huruf dan kata-kata Usman yang semakin lama semakin menjulang apinya. Menjadi api yang paling kuat serta keras berwarna kuat dari langit Tuhan!

 

Dengan nama Tuhan yang Maha Pengasih dan Perkasa, lindungilah hamba-hamba yang dizalimi, lindungilah hamba-hamba yang dizalimi, Kau lindungilah hamba-hamba yang dizalimi. Ameen.

 

Surat yang ditulis ini adalah sambungan daripada surat pertama. Apa perlunya diulas surat kedua. Bagi saya ia sangat-sangat perlu. Kerana ada kelompok sastera yang menolak sastera berpolitik, ada yang bersetuju. Saya adalah kelompok yang bersetuju sastera dan politik itu berjalan sekali. Ada juga yang mengkritik penglibatan A Samad Said sebagai ahli politik, kerana ia akan membisukan suara lantangnya sebelum ini. Saudara Uthaya Sankar ada menyebut dan ramai yang tidak faham, perjuangan Pak Samad adalah membela rakyat, perjuangan sesetengah parti itu juga membela rakyat. Eh bukan semua parti ke membela rakyat? Soalan ini akan muncul dibenak pembaca saya rasa. Iye benar, pembelaan dari sudut bagaimana. Cubalah kita renung sejenak. Apabila perjuangan mereka selari maka ia tidak menjadi ralat sebagaimana ralatnya saya membaca sajak-sajak Usman tanpa tarikh dalam buku ini. Dan penglibatan Pak Samad di dalam DAP saya tidak pasti jalan ceritanya kerana saya tidak dengar ceramah Pak Samad di pentas DAP. Tapi saudara saudari, sewaktu umur saya 13 tahun saya pernah dengar dengan telinga saya sendiri ketika sosok novelis terulung tanah air tiadalah lain hanya Shahnon Ahmad. Beliau berceramah selepas kemenangannya di Parlimen Sik menewaskan Hamid Othman yang boleh dikatakan Ustaz di Jabatan Perdana Menteri. Macam Asyraf Wajdi kini. Saya masih ingat lagi di Markas Pas Taman Melewar ucapan ini. Kemenangan pada PRU 1999 disambut dengan penuh gemilang pada malam seribu bintang cerah. Sebaris dengan beliau adalah Ustaz Ismail Kamus yang juga memenangi kawasan Gombak.

 

‘saya sebenarnya sukar memberikan keputusan untuk menerima tawaran PAS, kerana lawan saya adalah orang yang beragama, saya bertemu ulama di kawasan saya (penulis lupa namanya tapi boleh jumpa dalam tulisan-tulisan Shahnon yang lain). Katanya ini adalah perlawanan menumbangkan kebatilan, dan saya mendapat restu tok guru di kawasan saya untuk bertanding. Maka saya bertanding. Alhamdulillah menang’

 

Begitulah kurang lebih kata-kata Cikgu Shahnon pada malam itu. Kenangan paling indah pada saya apabila seorang sasterawan negara melawan dan menang! Cukup setakat itu saja kisah malam seribu kenangan. Cikgu Shahnon pula kini semakin uzur, semoga kesihatan beliau dipelihara Allah Subhanahu Wa Taala.

 

Usman Awang bagaimana? Adakah akan menjadi ahli politik? Menjadi ahli politik itu sesuatu yang besar. Tidak semua orang mampu. Tapi adakah Usman Awang akan berpolitik? Itu sudah tentu, Usman Awang menentang dengan kata-kata dan tindakan. Beliau juga bersama rakan-rakan dalam mogok Utusan. Beliau juga mengumpulkan sajak-sajak penentangan dalam keranda 152, diarak ke parlimen dan menyeru seluruh rakyat bersama mereka terutama mahasiswa. Tapi jika ini pun kelompok itu masih mengatakan sastera tidak bersekali dengan politik maka apa lagi  yang harus dibicarakan. Hidup dalam paradoks ciptaan sendiri. Ataupun paranoid dengan politik. Mungkin boleh baca ucapan Keris Mas ketika memperoleh gelaran sasterawan negara yang bertajuk sastera politik dan politik sastera.

 

Saya tidak ingin menyentuh kata pengantar kerana mungkin pengalaman itu yang membezakan kita memandang dunia.

 

Kehadapan saudara Usman yang dikasihi,

 

Sajak-sajak yang dikumpul dalam buku ini benar-benar membuat diri mati hidup semula. Bermula dengan sajak Menyerah Kalah dan berakhir dengan sajak Robohnya Kota Melaka. Di tengah-tengahnya terkumpul sajak-sajak yang sering meniti dibibir pelawan-pelawan kezaliman. Di halaman dua sajak bertajuk Kepada Teman Setaman, istilah ini juga digunakan oleh rakan sasterawan yang lain yakni A Samad Said dalam sajaknya Seuntai Kata Untuk Dirasa (kepada teman setaman). Dalam sajak Usman ini, Usman bertanya kepada rakan-rakan sastera yang lain

 

“mana kawan-kawan, siapa menghilang, siapa ada?”

 

Dan juga beliau menegur

 

‘memang ada pengotor taman sastera kita,

Pencari nama untuk kebanggaan semata,

Tapi selamanya kita satu taman,

Pertentangan bukan jadi satu tujuan.

 

Jika anda membelek halaman sebelah, sajak yang bertajuk Kami Tetap Bekerja ini adalah sajak yang ditujukan khas buat peristiwa Mogok Utusan. Walau apa pun terjadi mereka tetap bekerja, kerana

 

‘Siapa yang mengerti, siapa yang mengerti saja

Berbakti bukan sekali dan bukan  satu cara’

 

Kalau boleh ingin sekali saya sentuh semua sajak Usman Awang dalam surat ini. Sajak Mahasiswa ini masih relevan dan masih didengar ketika isu PTPTN baru-baru ini disentuh. Usman menyeru rakan mahasiswa agar bersatu menuju ke bangunan parlimen (ketika sajak Usman ditulis peristiwa petani Baling sedang memuncak). Dalam pada itu Usman menulis sajak khusus untuk politik dan juga sajak yang dicipta khusus buat tokoh.

 

  1. Awan Putih (buat Masuri) atau nama ayng biasa didengar Masuri SN
  2. Sahabatku (Dr. M.K. Rajakumar) halaman 9 dan Dr. Rajakumar juga ada menulis sajak balas kepada Usman Awang
  3. Bintang di Langit Zaman (Zulkifli dalam kenangan) beliau adalah Professor Dr Zulkifli Muhammad yang ketika itu baru saja menang PRU untuk penggal kedua di Parlimen Bachok namun tidak diduga berlaku kemalangan yang meragut nyawanya.
  4. Salut Untuk Said Zahari (sepuluh tahun di penjara politik Singapura) baru saja meninggalkan kita semua bulan lepas.
  5. Suatu Orentasi (Kepada K.A) tidak pasti ditujukan kepada siapa, mungkin boleh Chairil Anwar, kerana Usman mengeja Chairil sebagai Khairil. Boleh rujuk karya dengan ejaan lama Dari Bintang Ka Bintang.
  6. 500 Mereka (kepada Siti Nor Hamid Tuah) ini adalah anak perempuan kepada bapa peneroka yang berjuang akan nasib rakan petani lain.
  7. Gema (Tablo Aminuddin Baki)
  8. Kami Anak Zaman Ini (Istimewa untuk Tuan Za’aba) khusus buat pendeta Za’aba
  9. Dato’ Onn ditulis ketika pemergian Dato’ Onn, dan ada baris kata yang menonjolkan kematangan dalam politik yakni

‘meski kita berlainan bicara

Dalam kenangan namamu terpaku’

 

Sajak-sajak Usman tidak terhenti di situ, dalam buku ini sarat dengan peristiwa Keranda 152, dan ada dua sajak yang luar dari kebiasaan yakni Kurang Ajar halaman 26 dan Benarkah Ketam Mengajar Anaknya Berjalan Betul? Pada halaman 53. Dua sajak ini menyuruh pembaca berfikir dan tidak menerima bulat-bulat apa yang berada di depan mata.

 

Saya menyarankan rakan-rakan pembaca membeli buku ini lagi ia masih ada dan masih belum ditelan zaman. Sebelum saya tamatkan surat ini, ingin saya kongsi dalam sajak Kambing Hitam (Sebelum dan sesudah 13 Mei). Pada pendapat peribadi saya ini adalah kritikan Usman Awang terus kepada Tunku Abdul Rahman. Rakan-rakan perlu baca buku Tunku bertajuk Sa-belum dan Sa-lepas 13 Mei (tajuk sama dengan sajak bukan). Saya tidak merasakan ini satu kebetulan, boleh lihat

 

-13 Mei-

Secupak beras di ibu kota

Semangkuk darah harganya

Nilai pasaran di Jalan Raja Muda

 

Usman menyusun setiap larik dengan memulakan kata

 

  • Sebelum
  • 13 Mei
  • Taridera 13 Mei
  • Berkurung
  • Sesudah
  • Kini

 

Dalam kini, Usman menyebut

 

betapa larisnya buku 13 Mei

Ilham dan mimpi seorang wali (sindiran buat Tunku Abdul Rahman)

Terkutuklah barang siapa mengutukinya (ditujukan buat Mahathir dan yang menentang Tunku)

Si perkauman si komunis si ultra si gengster (ini semua kembali semula pada mereka yang dijadikan kambing hitam)

 

Jika anda ada baca buku Tunku, Tunku ada menyebut sebelum peristiwa 13 Mei itu beliau bermimpi terperangkap dalam lorong yang dipenuhi sampah, tikus dan lalat. Boleh cari buku itu di kedai buku MPH.

 

Akhir sekali ingin saya kongsikan sajak yang saya masih pegang dan juga hafal, bertajuk Duri dan Api

 

Kawan-kawanku yang dikasihi

Dibelakang duri di depan api

Kita tidak bisa undur lagi

Duri dan api, tajam dan panasnya kita hadapi!

 

 

 

p/s: dalam buku ITBM ini ada beberapa ejaan salah.

 

Yang masih membara api jiwa muda hati remaja

Perewa

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s