Surat kepada buku Frekuensi Proletar 1 (ketika surat ini ditulis saya baru lepas mandikan anak sulung dan memasang lagu KITARO – MATSURI)

Posted: January 2, 2016 in surat untuk buku

Kampung Baru

Kuala Lumpur

2 Januari 2016

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Kehadapan buku Frekuensi Proletar,

Pada pagi sabtu nan hening. Bertemankan bunyi kipas sup sap sup sap di bilik belakang rumah. Saya menulis surat kepada buku yang bertajuk Frekuensi Proletar. Sambil mengunyah kuih tradisional berbelang merah putih ini, saya taip papan kekunci dengan tangan kiri sahaja.

Okey. Maafkan saya.

Kenapa tajuk surat ini Frekuensi Proletar 1? Kerana buku ini ada dua penulis. Maka surat kepada buku Frekuensi Proletar 1 adalah untuk bahagian pertama dalam buku ini yang ditulis oleh saudara Adam. Memandangkan surat ini adalah surat kepada buku maka semestinya akan ada sedikit sebanyak menyentuh perihal penciptanya. Penulis itu sendiri. Dan jika saya rajin akan saya sambung tulisan kedua yakni surat kepada buku Frekuensi Proletar 2.

Buku ini dibeli pada akhir tahun 2015. Pada petang di bangunan Menara Maju Junction. Buku ini sebenarnya telah memanggil saya ketika kulit depannya berwarna biru putih. Meskipun saya melihat perlambangan warna barisan nasional (walaupun ia tiada kena mengena dengan isi dan penulis. Saya yang terlalu kritis) ia tetap menggoda saya untuk memeluknya. Namun kulit depan baharu yang telah diubah berwarna senja, kata penerbitnya penulis tidak mahu kulit yang sebelum ini. Peduli apa saya??? Mungkin ada pembaca yang mementingkan hal2 begini, kerana bagi mereka kulit yang menarik akan menjana pendapatan dari sudut komersial. Ahhh lupakan saja hal2 kulit, mengapa tidak masuk ke dalam isi????

Kata pengantar. Hmmm…walaupun hmmm….tidak mempengaruhi perjalanan bacaan saya. Kerana setelah habis membaca bahagian satu (oleh Adam) sudut pandang saya berbeza dari Wani. Okey adalah sikit sama. Perihal ibu.

Meskipun ibu, saya melihat dari konteks yang lebih Akbar. Yakni persoalan kasih dan persoalan sayang. Waktu saya baca sedikit catatan diri Adam, beliau menulis bahawa beliau mempunyai saudara kembar. Hawa? Apa benar? Saya baru tahu. Tapi biasalah lelaki sesama lelaki. Ego dan untuk apa tanya tinggal mana, umur berapa, belajar mana. Kadang lelaki ini meskipun sudah bertemu beberapa kali, nama sesama sendiri pun tidak tahu. Anehkan dunia lelaki?

Jika ada yang merasa ini aneh, nah, bahagian pertama ini akan menyebabkan saya dan pembaca lain merasa lebih aneh lagi dunia Adam. Setiap sajak yang menjelma pada halaman ini, di bawahnya ada tertera tarikh dan tempat sajak ditulis. Ini adalah pendokumentasian yang sangat bagus. Kerana sebagai pembaca yang kritis, saya akan mendalami pada hari apa dan tempat mana sajak ini ditulis lantas mempengaruhi minda Adam.

Cemerlang.

Boleh lihat pada sajak di halaman 15, 16 dan 17. Semuanya ditulis pada tempat dan waktu yang sama. Dua ditulis di Selangor Mansion, satu di Masjid Jamek. Ketiga2-nya pada tarikh 8 April 2015. Apa yang ditulis? Sama atau berbeza. Saya meneliti, jika sama bagi saya biasa. Jika berbeza, perlu akal yang cerdas untuk menghasilkan sesuatu yang lain dalam waktu yang sama.

Sajak di Selangor Mansion pada 8 April 2015

Halaman 15 bertajuk SEGALA-GALANYA TAK BERNILAI TANPA MASA

Halaman 17 IGNORANCE DI KEDAI MAKAN

Sajak ini berbeza, pada halaman 15 ditonjolkan tiada rupa sekiranya tiada simbiosis maupun perkaitan seterusnya. Pada halaman 17 pula 360 darjah ia berpusing, sajak ini menceritakan pula ketidakpedulian insan2 pada sosok yang naif yang ditulis dari pandangan Adam kepada sosok itu.

Sajak di Masjid Jamek pada 8 April 2015

Halaman 16 bertajuk DOA PENJUAL JERUK YANG BELUM LAKU

Meskipun tiada perkaitan namun ada satu hal yang jika pembaca sedar wujud ikatan antara sajak2 dalam karya Adam (saya akan sentuh kemudian). Sajak di Masjid Jamek lagi jauh menyimpang. Ini kerana ia perihal seorang penjual jeruk yang tidak mendapat sambutan.

Kasihan dan empati yang tinggi adalah hal yang saya perlu sebut dalam karya Adam. Namun itu masih tidak memikat hati saya. Kerana saya perlukan lebih, buku….kau harus berikan sesuatu yang lebih dari ini. Semua orang merasa kasih. Semua orang merasa empati. Maka apa yang membezakan kita semua????

Selepas baca sajak2 seterusnya dalam karya Adam. Saya menapak jauh dalam mengkritik karya ini. Penghasilan sajak2 ini adalah dengan jelas dari pengamatan Adam kepada dunia disekelilingnya. Semestinya begitulah, dan yang paling real bagi saya adalah unsur SURREAL dalam karya ini. Maka REAL+SURREAL dalam karya Adam ini berselang seli.

Sebagai contoh karya kepada penjual jeruk itu.

PEMBACA membaca karya Adam > Adam menulis sajak dari Penjual Jeruk > Penjual Jeruk dengan kehidupannya.

Maka berapa lapis sudut pandang telah terhasil dari sebuah sajak.

Begitu juga sajak yang bertajuk TUAN, MATAMU DIHUJUNG TONGKAT.

PEMBACA membaca karya Adam > Adam menulis sajak dari Seorang Buta > Seorang Buta dengan Tongkatnya Punyai Mata > Tongkatnya Punyai Mata melihat dunia

Pembaca perlu cermat untuk memahami tulisan sajak ini. Seorang buta yang menggunakan tongkat sebagai panduan perjalanan. Dan kemudian disindir oleh Adam kepada orang yang celik masih lagi melanggar bahu insan ini. Walhal kau tu ada mata, insan ini matanya di tongkat! Di tongkat?

Ya inilah Surreal yang saya maksudkan. (sabar belum masuk lagi)

Kemudian sajak yang mempunyai nombor U410 dan U40, ini adalah nombor bas RAPIDKL yang sering dinaiki oleh beliau. Saya tahu ini kerana beliau ada memberitahu ketika saya bertanya sedang buat apa dan dari mana dan sebagainya. Saya pun tidak tahu mengapa saya bertanya begitu kepada beliau. Ambil berat? Gay? Kahkah. Gila! Tiadalah. Bertanya khabar semestinya. Sebab saya lihat Adam adalah teman setaman generasi baru selepas saya yang berumur…..30! Wowww. Baru saya perasan. Saya ingat umur masih ada angka dua di awalan. Yakni 29!

Berbalik semula sikap empati Adam pada dunia. Semua beliau sebut dalam sajaknya, siapa pun tidak terlepas

-Diri

-Emak

-Penganut Kristian dan Hindu

-Penjual Jeruk

-Gelandangan

-Perempuan tua dalam bas

-Pengemis Tua

-Orang Buta

-Seekor Anjing Betina Mengajar Soal Mandiri (saya rasa ia bukan ‘Anjing Betina’ kerana tempat sajak ini ditulis adalah di Masjid Negara)

-Rakan2 Punk

Perihal rakan2 Punk ini, Adam telah menerima nasib ditahan pada malam sebelum merdeka di Rumah Api. Pengalaman itu dikongsi dalam sajak ini. Mahal. Yang paling asyik adalah sajak yang bertajuk SEMINGGU YANG LALU, SEBUAH PENDEDAHAN BESAR-BESARAN. Di akhir sajak itu disebut dengan sekali lagi gaya Adam menyindir dengan menyebut bahawa

Anak-anak Punk bukan hamba Narkoba. (dadah).

Ini kerana minat tidak menuntut kita menjadi jahat! Dadah tidak mengenal siapa kau siapa aku. Dari pemimpin sampai ke bawah jika sudah terlekat pada najis dadah, kau adalah hamba padanya. Sampai sekarang saya masih ingat kata2 Nizang waktu acara di Pekan Frinjan beberapa tahun lepas. Punk tidak perlu dengan kau buat rambut pacak, baju2 berpaku, conteng sana conteng sini. Itu adalah luaran, apabila kau faham gaya hidup Punk kau tidak perlu buat semua itu. Dan aku tambah dengan ‘Kau akan mampu berdiri dengan kaki sendiri (DIY)’

Cukup sudah hal Empati, maka masuk hal2 Surreal. Ini saya gemar. Kerana tidak semua mampu menulis begini. Ramai tidak mampu beza, ada yang sebut ini Hiperbola. Hiperbola masih bukan Surreal.

Mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat (lihat Adam, betapa bersungguh aku menulis surat)

Hiperbola adalah ungkapan (penyataan dan sebagainya) kiasan yg berlebih-lebihan atau dibesar-be­sarkan untuk memperoleh kesan tertentu dan tidak bertujuan ditafsirkan secara harfiah.

Contoh:-

Jeritannya menggoncang bumi

Darahnya memancut membasahi bumi

Dan Surreal adalah lebih dari ini. Surreal itu luar dari realiti dan alam nyata. Contoh2 yang boleh diambil terus dalam sajak Adam adalah

-bulan, bintang, langit, matahari, awan dan hujan sedang bergilir-gilir memakai bedak pada mukanya

-Matari ditempatku berkerut

-Tuhan tiada di Mimbar

Sekadar menyebut, namun yang paling besar bagi saya adalah sajak2 akhir pada halaman 53,54 dan 55.

Halaman 53 bertajuk SEBUAH LORI TERBALIK KETIKA MEMBAWA SAJAK

Ini sangat menarik kerana Adam berjaya menghidupkan sajak. Sajak menjerit kerana kemalangan itu.

Halaman 54 bertajuk NOKTAH YANG MINTA DIRINYA DIPADAMKAN

Adam cuba menyorot dirinya dalam sajak ini. Saya harap beliau tidak hanyut dan membawa ke arah skizo.

Halaman 55 bertajuk SAJAK MENUTUP PINTU RUMAHNYA

Berkali-kali saya baca namun tidak berjaya untuk faham. Apakah ada sesuatu yang membuatkan Adam sukar untuk menulis? Kerana simbol ini saya membayangkan bahawa writers block dengan menutup pintu rumahnya.

Dan yang masih lagi tidak berjaya saya faham adalah sajak pada halaman 52 bertajuk APA KAU LUPA PERBUATANMU SEBENTAR TADI? Ditulis di Stesen Hang Tuah, membawa saya terbang ke dalam LRT bersama penulisan ini tentang keadaan yang dialami. Sememangnya kau seseorang yang memerhati Adam. Dengan teliti.

Di akhir surat ini saya ingin menyebut perihal sajak yang bertajuk ITUKAH BUKIT MAOKIL?

Pada tahun 2004, waktu KOMSAS saya belajar sastera dari guru Bahasa Melayu yang bernama (Almarhum) Cikgu Mat. Beliau orang susah, tapi mengajar bahasa Melayu dengan memberikan saya satu dimensi baru. Dan saya jatuh cinta pada sastera dan bahasa dari beliau. Sehingga kini saya masih ingat ketika beliau mengajar sastera. Ada salah satu kelas kami, masuk bab sajak, sajak yang disediakan dalam ANTOLOGI KERUSI adalah DI KOTA KECILKU oleh BAHA ZAIN (belum bergelar Sasterawan Negara)

Di sini aku pulang
tempat bersekolah dan dibesarkan
lewat padang Speedy
terus ke Durian Sebatang
semuanya kini terasa kecil
mengimbau rindu dan kenangan.

Dan ketika meniti kedewasaan, saya bertemu blog Baha Zain dan menyampaikan kekaguman saya pada sajak ini pada ruangan komen. Baha Zain menjawab, mana mungkin lupa tempat kenangan bermain waktu kecil. Dan ketika saya membaca sajak ITUKAH BUKIT MAOKIL? Saya dapat rasa satu kenangan zaman kanak2 yang wujud dalam karya ini.

Teman-temanku menyebut-nyebut

“ituuuuu…Bukit Maokil” sewaktu kami bermain

Ketika jambulnya yang lebat terlihatkan,

Dan adik kecilku pandai bertanya;

Itukah Bukit Maoki?

Itulah Bukit Maokil, bukit yang tak pernah kita kenal

selain namanya, dan tak pernah kita injak di kepalanya

Surat kepada buku ini tiadalah kritikal dan kritis, hanyalah proses Surreal yang lainnya. Yakni insan menulis surat kepada buku. Yang mana buku itu tidaklah hidup untuk membaca. Maka siapa yang membaca? Penciptanya dan insan yang lain. Okeylah, kepada buku Frekuensi Proletar. Akan sambung pula pada surat kedua yakni bahagian saudara Azhar Ibrahim.

Ouh sebelum terlupa, apahal tidak tulis pertemuan kau dengan Punk Jepun di RUMAH API? Pasti sajak itu akan kelakar (maaf jika silap) dalam empati kau cuba melayan keterujaannya dengan Punk Malaysia.

 

Wassalam

 

p/s: Adam, aku tunggu kau sebab nak bagi pinjam buku tulang2 berserakan karya Usman Awang.

 

 

Yang masih segar menulis surat.

Perewa

12470948_10203996686835905_1804001715_o

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s