Surat kepada Karya dan Sikap Keris Mas

Posted: January 24, 2015 in surat untuk buku

Surat kepada Karya dan Sikap Keris Mas

Kampong Bharu
Kuala Lumpur

21 Januari 2015

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Kehadapan teman2 yang sudi baca surat ini.

Segala puji bagi Allah. Tuhan yang Maha Mengasihi lagi Maha Mengasihani. Tuhan yang menyimpan masa lalu, menggerakkan masa kini dan Maha Mengetahui masa depan. Semoga kita semua berada dalam kasih dan rahmatNya. Selawat ke atas Rasulullah, kekasih yang dikasih. Menjadi contoh dan ikutan sepanjang zaman. Senantiasa memaafkan dan memaafkan.

26 April 1981

Permulaan surat ini tidaklah ingin dimulakan dengan tarikh lahir maupun pemergian Keris Mas. Saya memilih tarikh beliau beroleh Anugerah Sasterawan Negara. Atas faktor tarikh itulah saya menulis surat ini. Kerana apa? Kerana jika bukan beliau yang beroleh anugerah. Mana mungkin surat ini akan terhasil.

Saya bukanlah ahli sastera, akademik atau ahli keluarga beliau. Saya hanya pembaca yang membaca dan ingin kongsi apa yang saya baca. Bukankah wahyu pertama turun di muka bumi ini adalah menyuruh kita membaca? Acara yang sedang dijalankan ini adalah acara santai buat semua lapisan masyarakat. Tidak perlu punyai gelaran untuk hadir maupun bersuara. Pendek kata ini bukan acara eksklusif. Bagi yang tidak meminati sastera juga boleh turut serta dalam acara ini. Untuk seseorang itu layak bicara perihal sesuatu dengan keperluan menulis satu tulisan ataupun kritikan berkaitan sastera yang bakal dibicarakan itu saya kira amat lari dari ruangan ini. Ruangan Buku Jalanan ini. Iye saya tidak menolak soal integriti atau soal kearifan seseorang itu perlu dalam mengungkap sesuatu. Jika tidak akan melayang ke lautan dalamlah acara itu. Namun saya ulang sekali lagi. Buku Jalanan adalah satu ruang buat kita semua. Siapa saja bebas untuk berkongsi pendapat.

Maka izinkan saya memulakan perkongsian.

Untuk pengetahuan semua, saya jika ingin menulis hal2 yang memerlukan rujukan saya tidak gemar membaca atau melihat tulisan2 yang sudah siap. Kerana bagi saya ia akan mempengaruhi cara saya bertulis. Maka dalam tempoh seminggu saya cuba baca beberapa karya dan esei Keris Mas. Dalam masa yang sama cuba juga memahami sikap Keris Mas.

Asal muassal mana “Keris Mas”? Dalam Tunas Cipta ada 5 teori dari mana nama pena ini muncul. Tapi bagi saya ke-lima2 teori itu tidaklah sama dengan apa yang saya rasai. Jika dilihat nama sebenar beliau Kamaluddin Muhammad. KM. Keris Mas. KM. Mengapa Keris mengapa Mas? Saya merasakan semangat nasionalisme dalam jiwa Keris Mas itu yang membuatkan beliau memilih Keris lambang senjata melayu. Dan beliau menggunakan diri beliau Keris Mas sebagai senjata melawan arus zaman. Mengapa Mas tidak Emas? Saya hanya memikirkan huruf M persamaan Muhammad dan Mas semata. Pun begitu Mas ini adalah sesuatu yang berharga. Jika disekalikan Keris Mas. Ia membawa maksud Keris yang ditempa dengan Emas. Dan ini bukan Keris murah. Ini Keris yang akan kekal dan harum sepanjang zaman.

Terima kasih buat kak Norziati atas pinjaman buku2 Keris Mas. Saya memulakan bacaan pada karya Anak Titiwangsa, mengambil semangat Buku Jalanan TITI barangkali. Kisah dua sahabat. Sudin dan Karim. Dua orang anak kampung. Kedua2-nya gagal dalam peperiksaan SRP. Sudin hijrah ke bandar. Karim menjadi semakin nakal di kampung. Bahkan menjadi budak jahat. Sudin yang tinggal bersama pak cik beliau seorang wartawan terkenal syarikat akhbar. Disuruh mengambil ujian menengah atas untuk masa depan. Dalam karya ini Karim hilang dari kampung dan misteri kehilangan Karim itu hanya terjawab dalam bab2 akhir. Yang mana bagi saya cara penulisan begini amat cerdik. Ia membuatkan pembaca ter-nanti2 di mana Karim. Dalam proses pencarian Karim itu. Sudin bertemu beberapa insan. Antaranya yang benar2 memberi kesan pada saya adalah kisah rumah yang ingin diroboh demi pembangunan. Encik Hamid menyambut Sudin dan temannya Malik dengan parang kerana sangkaan beliau, itu adalah orang yang ingin merampas rumah mereka di Keramat. Ingatan saya terus menyinggah ke Kampung Puah Tambahan dan Opah Wahidah. Berikut adalah dialog Encik Hamid di muka surat 116

“Saya cakap tentang orang macam saya. Orang miskin, orang tidak ada pelajaran macam saya ini mesti buat gila2 sikit. Kalau tidak orang tidak tahu kita ini ada. Ini zaman kemakmuran. Orang miskin jadi kudis yang memalukan. Jadi kita bising2-lah tunjukkan kudis kita. Dedahkan pekung, nanti adalah orang yang malu dan lekas2 beri ubat.”

Anak Titiwangsa ini amat sesuai dibaca oleh remaja. Ia akan memberikan satu bentuk pemikiran yang perlu difikirkan.

Kemudian saya beralih pula pada Koleksi Terpilih Keris Mas. Saya me-milih2 cerpen dan esei atas faktor masa. Saya mulakan dengan Wasiat Orang Bangsawan. Tamat saja saya baca. Saya merasakan ada pengaruh Keris Mas dalam Tongkat Warrant! Wasiat Orang Bangsawan perihal cinta dua darjat yang mana cinta orang biasa ditolak atas faktor darjat. Dan jika anda ada baca karya Tongkat Warrant yang bertajuk “Untuk Jadi Isteri Kepada Bangsawan” situasinya lebih kurang sama. Cumanya Tongkat Warrant menjawab. Keris Mas mematikan watak yang menolak dek kerana pemberontakan. Dan juga dialog ini senantiasa di-ulang2 dalam karya beliau dalam pelbagai gaya. Pada surat wasiat itu tertulis.

“Kerana itulah maka ber-abad2 lamanya di dunia ini – di Barat dan di Timur – terjadi pemberontakan sosial meruntuhkan kekuasaan kaum bangsawan itu, dan akan berlaku lagi terus menerus sampai hidup manusia mencapai keadilan seadil-adilnya.”

Seterusnya cerpen Kejadian di Dalam Estet. Cerpen ini mengingatkan pula saya pada novel Tulang2 Berserakan Usman Awang. Pada bahagian menyindir kaum penjajah. Cerpen ini menceritakan kisah kasih yang bakal berkahwin. Dan perbelanjaan perkahwinan mereka dipinjam dari Tuan kepada bakal isteri yakni Mariam. Si suami bernama Bedul memilih untuk menyertai Polis Khas telah melihat hal yang membuatkan beliau mengambil tindakan drastik. Penamat yang hebat dan selamat bagi saya.

Cerpen seterusnya yang saya baca adalah Hallucination. Saya yang memang gemar hal2 psikologi ini terus menerus baca tanpa henti. Ada dalam 2-3 kali saya ulang baca. Pada mulanya tidak faham apa yang berlaku. Rupa2nya…..ouhh. kisah ‘dia’ melawan nafsunya. Astaghfirullah.

Esei Keris Mas yang saya baca pula adalah seperti berikut

-Pandangan Umum tentang Pemikiran dalam Pertumbuhan Kesusasteraan Melayu

Di dalam esei ini, Keris Mas menyatakan dengan tegas sikap bangsa Melayu itu menjadi matang selepas peperangan tamat. Dan pengalaman jauh lebih matang sebelum perang. Beliau juga menyebut dinamis barat dan kesabaran timur.

“Pada zaman penjajahan, kita menerima pengajaran Barat untuk hal2 yang berguna bagi kepentingan Barat itu sendiri. Kesabaran Timur kita di-belai2 hingga turun menjadi sifat lemah dan menyerah, manakala dinamis Barat tidak kita kenali benar2 kerana sifat lemah dan menyerah itu menjadi tabir yang memisahkan kita dengan jiwa Barat yang sebenarnya.”

-Kaji Semula Kaedah Tulisan Jawi

Di dalam esei ini kita boleh lihat betapa fleksibel dan kedepannya pemikiran Keris Mas. Beliau tidaklah terlalu totok mempertahankam tulisan jawi. Beliau mempertahan dan melepaskan tulisan Jawi itu dengan hujah. Bagi beliau tulisan Jawi itu akan kekal mungkin dalam 50tahun lagi sebelum tidak benar2 digunakan. Pada tahun 1953 Kongres Bahasa Melayu kali kedua dibuat. Dan hasil penyelidikan perihal penggunaan tulisan dibentangkan. Ternyata penggunaannya pada tahun itu sama banyak dengan tulisan Rumi.

“Sebenarnya untuk kepentingan kemajuan dan pertumbuhan Bahasa Kebangsaan yang sesuai dan kepentingan masyarakat umum, kepentingan negara dan kepentingan ilmiah di negeri kita ini, pemakaian tulisan Rumi saja sudah memadai dan sangat sesuai kalau satu sahaja tulisan yang dirasmikan bagi satu bahasa. Tetapi seperti yang dikatakan tadi, keputusan Kongres dan keputusan Parlimen untuk mengekalkan juga tulisan Jawi menjadi tulisan Bahasa Kebangsaan di samping tulisan Rumi adalah berlatarkan pertumbuhan kebudayaan yang mempengaruhi pertumbuhan bahasa Melayu dengan tulisan Jawi itu.

Soalnya sekarang ialah soal kesanggupan untuk meninggalkan yang lama dan menerima yang baharu. Tentang tulisan Rumi itu pastilah ia akan melalui proses yang pesat yang akan menjadikannya sebati pula dengan Bahasa Kebangsaan dalam masa yang singkat akan datang ini seperti keadaan tulisan Jawi yang telah melalui proses kebudayaan yang lama itu”

-Permulaan Yang Tragik

Ini adalah kisah Keris Mas, Pahlawan Rimba Malaya dan hal2 yang tragis. Apa2-pun yang menarik bagi saya dalam esei ini adalah betapa kefahaman beliau dalam nasionalis itu lebih jitu dari umno sendiri.

“Pada hakikatnya dalam pemikiran politik, saya belum lagi menerima datangnya pemerintahan Inggeris kembali ke Malaya. Saya berasa bahawa perjuangan kemerdekaam masih berlanjutan untuk menolak Inggeris seperti Indonesia menolak Belanda. Saya sebenarnya tidak mengerti bahawa status Indonesia de facto sudah merdeka dengan memproklamirkan kemerdekaannya pada bulan Ogos 1945 itu berlainan dengan status Malaya yang secara sahnya kembali pada status quo naungan penjajahan British. Kedatang kembali Belanda ke Indonesia adalah satu pencerobohan terhadap sebuah negara yang sudah merdeka, manakala datangnya Inggeris ke Malaya adalah sebagai sebuah kuasa yang menang perang dan mengambil kembali kekuasaannya dalam status sebelum perang. Saya sebenarnya bukan orang politik dalam erti kata yang sebenarnya, tetapi oran politik hanya dalam erti inginkan kemerdekaan. Maka itu gerakan kebanyakan orang Melayu kemudiannya dipimpin oleh umno menolak Malayan Union itu pada saya adalah gerakan kembali taraf lama. Menolak sistem penjajahan yang langsung tetapi menerima kembali Inggeris sebagai penaung yang pada hakikatnya adalah juga penjajahan. Saya dengan sendirinya berasa senang dengan dasar Partai Kebangsaan Melayu Malaya yang meneruskan perjuangan lama menentang penjajahan secara TOTAL.”

-Politik Sastera

Esei ini ditulis saat Keris Mas menyampaikan ucapan dalam Anugerah Sasterawan Negara. Agak2 ada atau tidak sasterawan yang berani menulis hal ini saat menerima anugerah? Atau takut anugerah ditarik semula? Pada perenggan pertama beliau menerangkan maksud

“Izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan pandangan tentang kedudukan sastera dalam arena politik. Ada dua aspek yang penting dalam hal ini. Pertama ‘politik sastera’ dan keduanya ‘sastera politik’. Politik sastera yang saya maksudkan ialah pendirian politik terhadap sastera, yakni polisi tentang sastera dalam hubungannya dengan kehidupan kebangsaan. Ini membezakannya daripada apa yang dikatakan sastera politik. Sastera politik ialah sastera yang diperalat oleh golongan atau parti politik!”

“Apabila sastera telah menjadi alat kepentingan politik parti atau golongan, maka ia tidak lagi memenuhi fungsinya sebagai pendukung dan pendorong aspirasi bangsa menuju keadilan masyarakat, kemakmuran, perdamaian dan kesejahteraan hidup manusia. Parti2 politik adalah organisasi yang memperjuangkan sesuatu menerusi kekuasaan. Kesusasteraan dalam keadaan begini mudah menjadi alat propaganda yang walaupun mungkin menegakkan sesuatu kebenaran, tetapi mungkin pula bukan seluruh kebenaran, mungkin menegakkan kebenaran politik politik satu golongan yang dianggap kepalsuan oleh golongan yang lain”

– Bangsa Malaysia yang Bersatu Padu

Ada beberapa hal Keris Mas bersetuju dengan Mahathir. Antaranya Wawasan 2020. Esei yang ditulis pada tahun 1991 ini bagi saya amat menarik. Ianya kerana diakhir esei ini tertulis cadangan Keris Mas perlunya kerahan tenaga yakni National Service dalam tempoh masa tertentu. Pada tahun 2004 PLKN dilaksanakan. Meskipun antara kita atau siapa2 ada juga merasakan hal ini biasa mungkin terpengaruh negara jiran seperti Singapura maupun Thailand. Tapi di saat beliau mencadangkan kerahan tenaga ini, kita lihat semula tajuk esei Bangsa Malaysia yang Bersatu Padu. Betapa beliau sudah mampu mengasimilasikan bagaimana Kerahan Tenaga ini mampu melahirkan masyarakat yang bersatu padu.

Seterusnya novel Rimba Harapan yang mana saya baca dengan berkerut dahi dalam membayangkan serta berimaginasi latar tempat di Ketari, Pahang. Dalam novel ini kritikan banyak ke arah sosio masyarakat waktu itu. Pertembungan pemikiran kaum muda serta kaum tua. Bukan dalam soal agama semata, malah dalam kehidupan seharian jua diceritakan. Tidak lupa juga hubungan kekeluargaan dalam novel ini begitu jelas sekali diceritakan.

Seawal bab Keris Mas dengan berani mengkritik guru2 agama serta pengikutnya yang digelar kolot atas faktor hanya beribadat untuk akhirat semata. Bagi beliau hal ini tidak membangunkan masyarakat. Bahkan menjurus ke arah kemiskinan. Dan hal ini mengundang kepada penjajahan dengan mudah. Di muka surat 21 beliau menggunakan watak tuan guru dalam syarahan agamanya. Watak zaidi yang berpendidikan mahu membantu saudaranya dan penduduk kampung. Mahu mereka menjadi seperti beliau. Mengusahakan getah,getah, dan getah. Saat ketari di landa banjir. Inilah titik tolak bagaimana kita melihat Pak Kia teguh dengan pendiriannya. Keris Mas juga membawa pembaca berfikir sehingga mana bangsa melayu ingin hidup pindah randah tatkala wujudnya pembangunan. Kita mesti bertahan dan cuba ambil faedah dari pembangunan tersebut. Watak Zaidi lah yang membawa aspirasi ini. Di bahagian akhir kita akan lihat betapa Keris Mas cuba pula memenangkan Pak Kia. Saya rasa ini sangat2 klasik. Twist yang cantik.

Sebut soal kaum muda kaum tua, saya teringat Novel Almarhum Abdullah Hussain bertajuk Imam. Maka benarlah kata ibu saya, jika mahu menulis. Tulislah hal2 berfaedah buat pembaca. Novel ini telah membuatkan teman saya yang sebelum ini tidak memakai tudung, terus memakai tudung. Iye benar ada faktor2 lain juga. Tapi beliau sendiri menceritakan pada saya bahwa novel ini membuatkan beliau berfikir perihal agama. Maka beroleh pahala besar dan bahagialah Almarhum Abdullah Hussain di negeri abadi.

Ada beberapa lagi karya Keris Mas yang saya bicarakan. Atas faktor masa dan had tulisan. Maka saya beralih terus kepada sikap beliau. Selepas saya baca dan cuba memahami gagasan yang dibawa oleh Keris Mas. Maka saya mengeluarkan empat sikap utama beliau.

1. Nasionalis

Ada siapa2 tahu perbezaan patriotis dan nasionalis? Keris Mas disebut Nasionalis kerana sikap beliau mahu membangunkan bangsa Melayu. Cuba menjadi agen perubahan dalam berkarya.

2. Mendepani masa

Dalam beberapa esei beliau kita boleh lihat bagaimana beliau boleh menduga masa hadapan. Hidup mati tulisan jawi. Keperluan wujudnya bangsa Malaysia yang stabil dan kuat. Malah seperti yang saya tulis di atas. Cadangan beliau dalam kerahan tenaga negara.

3. Romantis

Ini memang tema Keris Mas dari awal pembabitan, meskipun saat belum bercinta sehingga selepas beliau beroleh Anugerah Sasterawan Negara. Bagi saya apabila menyebut perihal romantis, ia perlu dikaitkan dengan humanis. Kerana dari situ kita boleh lihat. Romantis yang bagaimana? Adakah sekadar jiwa muda yang baru mula menulis. Atau jiwa muda yang ber-api2 semangat juangnya bersama teman. Apa maksud romantis?

4. Pemberani

Perkara paling utama yang membuatkan beliau menjadi pemberani adalah menerbitkan Novel beliau sendiri. Dengan penat lelah dari Singapura menuju Kelantan. Dan akhirnya terbit jua meskipun hati retak seribu atas perubahan manuskrip. Saya teringat karya A Samad Ismail yang juga mengalami nasib yang sama. Beliau pernah menulis sajak buat kekasihnya di utara yang bertajuk “Bunga Dari Utara”. Akan tetapi dipadam oleh tentera Jepun atas faktor “utara” , paksi “utara” Amerika. Dan kedua adalah menerima Anugerah Sasterawan Negara yang Pertama. Apakah tiada sasterawan lain? Saya rasa ada. Beraninya beliau dengan menulis esei politik sastera saat menerima anugerah tersebut. Di akhir esei itu ada menyebut.

“Pengalaman lebih daripada 30 tahun dari zaman penjajahan hingga zaman merdeka ini memberikan saya semacam keyakinan bahawa kita adalah antara kaum sasterawan di dunia yang mendapat ruang luas untuj bebas mempertahankan kebenaran apabila penjajahan telah dapat kita robohkan. Kerajaan Malaysia adalah antara kerajaan di dunia yang begitu menaungi, memahami dan simpati sikapnya terhadap perkembangan Kesusasteraan dan kebebasan kaum sasterawan. Di atas pengalaman inilah, dan keyakinan inilah serta atas kepercayaan saudara2, terutama pihak2 pencalon dan penilai, terhadap diri saya, maka saya dengan tulus ikhlas, rendah hati dan perasaan amat terharu serta bersyukur pada Allah, berani menerima anugerah yang amat berharga dan mulia ini. Saya berdoa moga2 kerajaan dan pihak penulis sendiri akan teguh berpegang pada konsep politik sastera yang sihat”

Pada tahun 1992, pergilah Keris Mas mengadap penciptanya berbekalkan amalan yang dilaksanakan di dunia ini. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan rahim yang Esa. Sekadar itu sahaja surat saya buat bicara Karya dan Sikap Keris Mas. Semoga beroleh manfaat. Mohon maaf jika ada tersalah kata maupun fakta. Saya meng-alu2kan pendapat teman2 pada karya dan sikap Keris Mas. Semoga bertemu lagi.

Yang membaca karya Keris Mas secara pantas
Perewa

INFOGRAFIK-KRONOLOGI KEHIDUPAN KERIS MAS

NAMA SEBENAR
Kamaludin Bin Muhammad

TARIKH LAHIR
10 Jun 1922

TEMPAT LAHIR
Kampung Ketari, Bentong, Pahang Darul Makmur

PENDIDIKAN
RENDAH
Sekolah Melayu di Kampung Ketari sehingga tahap darjah lima

MENENGAH
Sekolah Tawalib di Sumatera Indonesia

TINGGI
Kolej Kuliahtul Muallimin Al-Islamiah (Maktab Perguruan Islam) di Gontor Indonesia – Beroleh Diploma Perguruan

BERUMUR 18 TAHUN
1940
Pulang Malaysia
Masuk Pitman’s College mendaftarkan diri untuk memasuki peperiksaan matrikulasi London University (University of London Matriculation Examinations)

BERUMUR 24 TAHUN
1946
CERPEN SULUNG WASIAT BANGSAWAN

NOVEL SULUNG PAHLAWAN RIMBA MALAYA dalam keadaan tragik
diterbitkan di KOTA BHARU dengan nama penerbitan permai (persaudaraan malaysia indonesia)
bertemu bersama Mohd Asri Bin Haji Muda dan Khaidir Khatib

Keris Mas memulakan kerjayanya sebagai guru Madrasah Khairiah di Temerloh, Pahang (1946 – 1947)

BERUMUR 25 TAHUN
1947
Keris Mas menyertai Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) cawangan Pahang dan menjadi exco penerangannya. Hadir dalam Kongres PKMM di Singapura mewakili negeri Pahang. Berkhidmat di akhbar Melayu Raya dan Warta Negara sebelum berpindah ke Utusan Melayu di Singapura.

Pada tahun 1947 hingga 1953, beliau menjadi Anggota Sidang Pengarang Utusan Melayu, Singapura.

BERUMUR 31 TAHUN
1953 – 1954
Beliau kemudian berpindah ke Warta Negara Pulau Pinang

BERUMUR 33 TAHUN
1955
Kembali semula bertugas di Utusan Melayu Singapura pada akhir tahun

BERUMUR 34 TAHUN
1956
Menyertai DBP. Beliau menerima pelawaan Ungku Aziz, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

BERUMUR 35 TAHUN
1 Disember – 31 Oktober 1962
Beliau dilantik sebagai Pengarah Umum

BERUMUR 44 TAHUN
Julai 1966 – 30 Jun 1971
Dinaikkan pangkat sebagai Ketua Bahagian Pengarang

BERUMUR 59 TAHUN
1981
MENERIMA ANUGERAH SASTERAWAN NEGARA

BERUMUR 80 TAHUN
9 MAC 1992
Sakit jantung dan dibawakan ke Hospital Besar Kuala Lumpur
KEMBALI KE HADRAT ILAHI
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

KARYA WAJIB BACA

CERPEN
1. Wasiat Orang Bangsawan 1946
2. Kejadian di dalam Estet 1950
3. Menjelang Merdeka 1957
4. Mereka Tidak Mengerti 1959
5. Runtuh 1960
6.Hallucination 1981

NOVEL
1. Pahlawan Rimba Malaya 1946
2. Korban Kesuciannya 1949
3. Anak Titiwangsa 1967
4. Saudagar Besar dari Kuala Lumpur 1982
5. Rimba Harapan 1986

PELITA YANG TAK PADAM-PADAM

Walau ribut taufan menderu
Halilintar membelah menggegar bumi
Walau gelap lembap membeku
Di muka jalan medan bakti.

Namun pelita menyala juga
Di dalam dupa hati nubari
Bercahaya hidup bagai geliga
Tak padam sampai abadi.

Kini engkau rebah ke bumi
Besok aku diikat paksa
Berganti-ganti kita pergi
Sampai akhir keturunan bangsa.

Namun pelita tetap menyala
Berapi-api merah membara
Menjadi suluh hasrat bangsa
Tak padam sepanjang masa.

Walau jasad hidup merana
Walau dihimpit ditindas ganas
Pelita cinta kan hidup jua
Menyinar jiwa hasrat bebas.

KERIS MAS
Mastika 1949

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s