WARKAH TERBUKA BUAT BUKU KARYA AGUNG MATHNAWI JALALUDDIN RUMI SET (JILID 1-6)

Posted: May 3, 2013 in surat untuk buku

Perewa

Kampung Padang Balang

51100 Kuala Lumpur

Wilayah Persekutuan

Institut Terjemahan dan Buku Malaysian
Jabatan Penerbitan

Wisma ITBM, No 2, Jalan 2/27E
Seksyen 10, Wangsa Maju
53300 Kuala Lumpur

Wilayah Persekutuan                                                                                                                                                                      3 Mei 2013

 

Tuan,

WARKAH TERBUKA BUAT BUKU KARYA AGUNG MATHNAWI JALALUDDIN RUMI (JILID 1-6)

Karya besar Islam ini telah diterjemahkan dalam bahasa Melayu oleh Profesor Dr. Sayyid Mohamed Ajmal Abdul Razak Al-Aidrus, profesor di Institut Kefahaman dan Pemikiran Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Buku ini berharga RM3,500.00.

Warkah ini ditulis atas rentetan harga buku yang teramat mahal.

MISI ITBM

  • MENGATASI HALANGAN BAHASA DALAM PENYEBARAN ILMU PENGETAHUAN MELALUI TERJEMAHAN BERKUALITI UNTUK MELAHIRKAN MASYARAKAT MAJU, SELARAS DENGAN WAWASAN 2020;
  • Memperkaya dan memperkasa kepustakaan berbahasa Melayu sebagai wahana pemikiran bangsa Malaysia meliputi aspek budaya, sains dan teknologi melalui terjemahan dan penerbitan buku;
  • Mengantarabangsakan karya kebangsaan secara berterusan melalui aktiviti penterjemahan dan penerbitan buku supaya setanding dengan karya yang diiktiraf dunia;
  • MEMBANGUNKAN  MODAL INSAN DALAM INDUSTRI PENTERJEMAHAN DAN PENERBITAN BUKU.

2. Diatas ini adalah misi ITBM. Sengaja saya hitamkan misi pertama dan terakhir ITBM, saya kira pihak ITBM lebih arif tentang hal itu. Yang saya ingin persoalkan di sini adalah bagaimana mahu dikatakan mengatasi halangan bahasa apabila selepasnya muncul pula halangan kewangan atas faktor harga buku yang terlalu mahal? Juga, bagaimana mahu membangunkan modal insan sekiranya sekali lagi harga buku yang terlalu mahal menjadi penghalang?

3. Sebelum saya pergi jauh, lebih molek saya perkenalkan diri dahulu. Saya Perewa, antara penggerak BUKU JALANAN di Kuala Lumpur. BUKU JALANAN adalah satu gerakan aktivisme menggunakan ruang awam sebagai medium dan memberi pinjaman buku kepada masyarakat tanpa birokrasi ( bermaksud cukup sekadar peminjam menulis nama dan nombor yang boleh dihubungi). Saya hadir dalam acara Sofa Putih ITBM pada 2 Mei 2013. Saya adalah orang yang bertanyakan soalan akhir. Perihal harga dan pengharaman buku. Semua panelis yakni Dr. Mawar Shafei (Pensyarah UKM), Dr. Kamariah Kamaruddin (Pensyarah UPM) dan Abu Hassan Murad (Penulis) tidak dapat menangkap maksud sebenar soalan saya, hanya moderator sahaja yang saya kira faham. Mungkin salah saya yang tidak rangka soalan dengan betul sebelum bertanya.

4. Oleh yang demikian, dalam warkah ini terus saja saya memberi reaksi balas terhadap komentar panelis dan moderator. Ingin saya beritahu kepada panelis pada tempoh hari bahawa buku mahal bagi saya adalah yang berharga RM400.00 ke atas. Kerana panelis menyebut buku mahal kualitinya bagus dan menciplak adalah sesuatu yang tidak dapat diterima. Saya bersetuju 100% jawaban panelis. Buku akademik ataupun bukan, mesti dibeli bukan diciplak jika mahu memiliki, sekiranya tidak mampu boleh pinjam dari teman. Masih tersimpan kemas dalam almari buku saya, buku-buku akademik dari diploma sehingga ijazah sarjana muda. Saya pencinta buku yang tidak akan pernah menciplak buku. Buku mahal yang saya pernah beli adalah Dari Bintang Ka-Bintang oleh Usman Awang, cetakan pertama tahun 1965 penerbitan Angkatan Baru berharga RM200, semua ini hanyalah gambaran perihal saya tidak menolak secara total buku mahal. Namun memandangkan acara Sofa Putih ITBM tidaklah mengamalkan komunikasi dua hala. Saya simpan dalam hati. Dan saya luahkan dalam warkah ini.

5. Seterusnya pula moderator memberi jawaban yang memang saya tunggu, perihal buku MATHNAWI RUMI. Moderator menyebut buku MATHNAWI itu EKSOTIK dan Perpustakaan Utama yakni negeri perlu miliki buku itu untuk DIPINJAM oleh masyarakat. Kenapa perpustakaan utama? Kerana perlu lihat pada faktor setempat juga, kata-nya lagi jika diletakkan di tempat ini (saya sudah lupa kawasan yang disebut) majoriti masyarakat adalah orang asli. Seolah-olah moderator mahu menyebut, MATHNAWI RUMI itu akan menjadi SIA-SIA. Ini jawaban saya:-

  • Jika diteliti misi,visi,falsafah dan objektif ITBM sendiri semuanya mahu memperkasakan khidmat terjemahan. Aneh ya? Juga mahu membangun modal insan. Satu buku diterjemah, eksotik dipanggil moderator. Untuk siapa? Masyarakat khusus atau masyarakat umum? Kenapa perlu dibuat eksotik. Masyarakat umum tidak perlu pada hal-hal eksotik ini. sudah cukup mereka telan karya-karya mistik. ITBM nan prestij pula terbit karya eksotik. Bagaimana mahu dimiliki?
  • Maka menjadi tanggungjawab Perpustakaan Utama pula untuk memiliki buku ini? Pun yang demikian mereka yakni masyarakat umum harus menunggu sekiranya MATHNAWI ini sudah dipinjam. Itupun jika tidak dicuri! Malang bagi yang mahu memiliki.
  • Kenyataan terakhir moderator benar-benar buat saya terkejut. Saya ingin sekali ambil mikrofon dan bertanyakan soalan kepada mahasiswa yang hadir, anak didik panelis. Kurang lebih 20 orang duduk bersila dihadapan pentas. “Siapa yang mengenali Syeikh Maulana Jalaluddin Ar Rumi?”. Saya percaya tidak semua kenal RUMI dan MATHNAWI. Disebabkan itu, tidak boleh katakan kawasan majoriti orang asli itu tidak sesuai MATHNAWI. Kita mahu membentuk masyarakat. Karya agung ini sepatutnya dipegang zaman persekolahan lagi, Rumi, Camus, Pushkin, dan lain-lain. Tiada istilah sia-sia.

6. Saya mendengar pihak ITBM sedang mencetak MATHNAWI mampu milik. Sepatutnya dari awal lagi sudah terbit karya “mampu milik”. walau bagaimanapun usaha yang sedang dijalankan saya hargai. Menunggu dengan penuh sabar karya agung ini diterjemah dalam Bahasa Malaysia. Jangan biarkan masyarakat termenung dan merenung karya MATHNAWI ITBM dari jauh. Mampu pegang tapi tidak mampu milik.

Akhir kata, dengan penuh kerendahan hati dan diri, saya memohon maaf sekiranya warkah ini dilihat sebagai satu sikap pesimistik. Saya pencinta buku, dan hargai semua buku. Saya dakap erat buku MATHNAWI RUMI itu saat pertama kali muncul di pesta buku. Atas keprihatinan saya dalam tabiat membaca masyarakat Malaysia, membuatkan saya terpanggil untuk menulis warkah ini. Harapan saya, semoga karya agung mampu milik itu disiapkan dengan kadar segera. Supaya rakyat tidak perlu tunggu lebih 50 tahun untuk memegang karya MATHNAWI dalam bahasa Malaysia.

Sekian.

Yang Benar,

Perewa

Muzik Video: BILA RUMI MENARI oleh M Nasir.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s