Surat Pada Tuhan (ampunkanlah dosa guru2ku)

Posted: May 16, 2012 in surat pada tuhan

Telefon pintar,
Rawang

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Maha pengasih dan Maha penyayang. Maha mendidik, dan menciptakan insan. Kadang insan itu lupa asal muassal, namun Kau tetap dengan Ar-RahmanMu. Beribu kali dimungkiri pun tetap juga dengan Ar-RahimMu. Syukur ke hadrat Tuhan yang menciptakan ilmu nan luas terbentang. Disambung penyebaran oleh pesuruh lantikanMu. Dan kini penyebaran ilmu itu dilakukan oleh sosok yang bergelar guru.

Sebelum itu ampunkan aku Tuhan, kerana aku pusing juga kepala mahu meletakkan surat untuk guru aku ini pada kelompok mana dalam blog aku. Aku tidak mahu meletakkan dalam kelompok yang tiada kategori-uncategorize. Sedangkan guru aku ini senantiasa membangunkan masyarakat setiap masa. Bukanlah hanya berada dalam ruang sendiri sahaja. Oleh yang demikian aku sandarkan saja dan menjadikan surat padaMu Tuhan.

Ya Tuhan, ampunkanlah dosa guru2ku. Berikanlah pahala buat ilmu2 manfaat yang telah diajar padaku. Yang tidak bermanfaat biarkan saja, jangan pula Kau memberikan dosa pada mereka. Kerana mereka juga manusia yang bergelar guru biasa, tidak sama dengan guru agung yakni pesuruh2Mu.

Selama aku hidup ini Tuhan, aku sudah ketemu pelbagai guru. Yang membantu, juga tidak membantu, yang menghina juga tidak menghina, yang mengubah perjalanan hidupku juga yang meneguhkan pendirianku. Semua yang telah terjadi padaku kini sedikit sebanyak adalah dari ilmu yang dituntut. Disini aku senaraikan seberapa ramai nama guru2 aku yang keterpaksaan maupun tidak keterpaksaan mengajar aku.

Bermula zaman universiti:-
Prof Normah Dali(yang menaipkan surat untuk aku, membetulkan segala ayat dalam surat aku, seorang wanita yang tabah dan begitu sayang akan anak muridnya), Dr Anizah(yang senantiasa menjaga masa), Encik Munir(yang punyai kedai baju, juga seorang designer), dan ada satu pensyarah ini aku lupa namanya Tuhan, tapi dari beliaulah aku boleh memandang dunia dari sudut yang berlainan. Beliau mengajar ilmu personal development. Seterusnya Cik Zarith(orang yang manis, berjiwa muda seperti aku). Kemudian Ustaz Rasid(yang telah menyuruh aku khatamkan tenggelamnya kapal van der wijck), Puan Noorchahaya(yang aku telah pinjamkan buku tenggelamnya kapal van derwijck, dan kini buku itu aku hadiahkan buatnya) Ustaz Johari(yang mengajar bahasa arab dan dalam masa yang sama mudah berbicara hal politik), juga Puan Razmah(yang mengajar aku supaya cuba mendapatkan kesempurnaan, paling tidak cuba ke arah hampir sempurna jika tidak mampu). Dan ada beberapa nama yang aku tidak sebut, namun semuanya mereka, semuanya mereka adalah insan yang hebat.

Zaman persekolahan:-
Cikgu Mat. Al-Fatihah buat beliau, yang kali terakhir aku dengar beliau sudah kembali bertemu denganMu Tuhan. Aku sebak. Kerana dari beliau aku mula jatuh cinta dengan sastera melayu. Beliau banyak membetulkan tatabahasa aku. Walaupun aku ini dyslexia dan tidak akan dapat beza ‘di’ itu sepatutnya rapat dan jauh pada apa. Beliau tidak pernah merungut, bahkan berkongsi cerita saat malam meniaga untuk menampung keluarga. Kali terakhir aku bertemu dengan Cikgu Mat adalah pada akhir tahun 2004, beliau berniaga di bazaar ramadhan. Bersama isteri dan anak2nya. Aku sedih apabila mengingatkan kembali momen2 itu. Dan Cikgu Mat jugalah menyuruh aku baca dan menghuraikan sajak Tuan Baha Zain-di kota kecilku. Aku tidaklah rapat mana dengan kelompok sasterawan, tapi aku sudah khabarkan pada Tuan Baha Zain, saat aku membaca sajak di kota kecilku. Fikiran aku terus ingat pada arwah cikgu Mat. Tuan Baha Zain menjawab, kenangan itu tidak akan pernah terhapus. Juga ada beberapa Ustaz yakni Ustaz Dolah, yang menyuruh aku berniaga, kerana kalau kerja untuk mendapat rezki yang benar2 lari syubhah itu susah. Iyelah, mampukah kita dari jam 8-5 berterusan kerja tanpa bertelefon atau melayari internet atau berborak kosong atau berjalan2 buang masa.(Dengan demikian hormat aku pada Ustaz Dolah dan sempena hari guru ini, aku tuliskan surat padaMu Tuhan pada waktu rehat tengah hari). Seterusnya Ustaz Wan Roslan yang mengajar aku hal jodoh saat teman aku bertanya, “ustaz kalau orang gemuk dan gelap siapa yang nak?”. Ustaz Wan Roslan menjawab dengan memberi gambaran tak semua orang ke kedai kain membeli kain putih, ada juga membeli kain hitam,hijau,panjang pendek,bercorak dan sebagainya. Aku tersenyum mendengarnya. Juga dua orang ustazah, yakni ustazah cik siti nor asiah yang mana guru kelas aku yang tabah menjaga kelas kami. Kelas belakang la katakan. Bercerita hal2 sirah para sahabat, hingga satu masa bercerita pasal syiah. 🙂 berlainan pula dengan ustazah yang aku sudah lupa nama, mengajar aku tawarikh islam perihal muawiyah, kontra dengan apa yang telah diajar oleh ustaza cik siti nor asiah. Tapi dengan ustazah ini(sangat garang). Aku dengan keras kepala selalu tidur dalam kelas dan saat ditegur suruh basuh muka, aku ke keluar dan sambung tidur ke kelas lain. Dan apa yang berlaku Kau maha mengetahui Tuhan. Ustazah itu ajar di kelas itu rupanya selepas kelas aku! Aku disuruh berdiri depan kelas. Tapi kami baik saja lepas habis SPM. Syukur. Semoga segala mereka senantiasa dibawah lindungan Rahmatmu Tuhan.

Ok loceng sudah bunyi, tanda masuk kerja. Mungkin sampai disini saja surat aku padaMu Tuhan. Kau ampunilah dosa guru2ku. Dan berilah pahala buat mereka sebanyak mana air liur mereka digunakan untuk menyampaikan ilmu.

Ameen.

P/S:aku punya teman yang agak nakal, tapi mengajar aku saat orang sebut Al-fatihah angkatlah kedua tangan. Kerana Al-Fatihah itu juga Doa(bermula dengan pujian, berakhir dengan pengharapan). Dan sekarang aku sampaikan kepada Teman pembaca.

Yang begitu menghormati sang guru
Perewa

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s